SHAH ALAM, 7 SEPT: Pembangunan Taman Aero Selangor (SAP) bakal melonjakkan potensi negeri sebagai hab aeroangkasa global khususnya di rantau Asia Tenggara, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan taman seluas 2,000 ekar di Sepang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan industri kejuruteraan aeroangkasa.
“Ia termasuk pusat penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat, pengubahsuaian pesawat, pusat inovasi selain hangar pintar dan canggih.
“Dengan adanya taman perindustrian dan hab aeroangkasa nanti kita yakin dapat menyokong industri ini seperti yang dirangka dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/P_MBPameranPenerbanganSelangor2023-16-1-500x333.jpg.webp)
Ditemui selepas merasmikan SAS 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong hari ini, Amirudin berkata pelaksanaan pelbagai inisiatif diambil negeri memandangkan 67 peratus industri aeroangkasa di Malaysia berpangkalan di Selangor.
“Dengan perkembangan ini, menjelang 2030 saya percaya hampir 70 peratus industri penerbangan di Malaysia akan bertapak di Selangor,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/5-1-500x333.jpg.webp)
Dalam majlis sama, Amirudin turut menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) berkait pembangunan SAP antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan enam penggiat industri aeroangkasa iaitu SIMAero, Sir Ventures, Dviation Group, Bibus Metals, Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) dan Subang MRO.
Menyasar potensi nilai transaksi RM700 juta untuk penganjuran acara kali ini, negara terlibat antaranya termasuklah Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong dengan seramai 20,000 pengunjung disasar menyeratai pameran itu.
Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.