ANIH Berhad mengaktifkan laluan kontra dari KM116.5 hingga KM119.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) susulan tanah mendap pada 10 September 2023. Foto Facebook Lebuhraya Pantai Timur
AGENDANASIONAL

Tanah mendap LPT1 dipercayai berpunca daripada runtuhan cerun tambak

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Kejadian mendapan tanah yang mengakibatkan rekahan jalan di Kilometer (KM) 118.2 hingga KM117.8 arah barat Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), dipercayai berpunca daripada runtuhan cerun tambak di kawasan kerja-kerja tebatan banjir.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau telah mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak yang terlibat, untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kawasan mendap dengan segera.

“Saya juga telah menghubungi Ketua Pengarah LLM (Sazali Harun) dan mahu satu laporan penuh dikemuka dengan segera, selain pemantauan di sekitar kawasan mendapan bagi mengenal pasti kemungkinan risiko mendapan lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata pelan kontigensi atau mitigasi yang dilaksanakan di laluan mendap, sentiasa dipantau bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Nanta turut menasihati pengguna lebuh raya itu supaya mengelak atau menangguhkan daripada menggunakan laluan tersebut buat sementara waktu, bagi mencegah kejadian tidak diingini berlaku.

Terdahulu, pemegang konsesi LPT1 ANIH Berhad mengesahkan kejadian tanah mendap di KM118.2 hingga KM117.8 arah barat di Temerloh menghala ke Kuala Lumpur.

– BERNAMA


Pengarang :