AGENDAJENAYAH

Tiga maut, seorang cedera nahas tiga kenderaan di Lebuhraya Senai Desaru

KOTA TINGGI, 2 SEPT: Tiga maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 50.1 Lebuhraya Senai Desaru menghala Bandar Penawar di sini hari ini.

Mangsa yang disahkan maut di tempat kejadian masing-masing berusia 19 tahun dan 20 tahun.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan I, Izwani Abd Hamid berkata, laporan awal kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Bezza, Volkswagen dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova diterima pada jam 1.43 tengah hari.

Menurutnya, enam anggota dari BBP Bandar Penawar dan sembilan anggota dari BBP Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa, lapor Sinar Harian.

“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

“Tiga mangsa di dalam kereta Perodua Bezza disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi mangsa berusia 19 tahun cedera.

“Selain itu, empat mangsa berusia 11 hingga 51 tahun dalam Toyota Innova cedera ringan manakala pemandu Volkswagen berusia 50 tahun, dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke hospital dan operasi ditamatkan pada jam 3.50 petang.


Pengarang :