Gambar hiasan perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tipu urusan anak angkat, dua wanita dipenjara setahun

SHAH ALAM, 1 SEPT: Dua wanita dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Seremban hari ini berikutan memperdaya seorang lelaki bagi urusan anak angkat hingga mangsa rugi hampir RM8,000.

Tertuduh G Gayathree, 32 dan Aliyah Begum Selvam, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati menipu seorang lelaki berusia 37 tahun bagi mendapatkan wang dengan menawarkan urusan pengambilan anak angkat pada 15 Julai.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ara Sendayan 1/3, Taman Ara Sendayan, dengan mangsa diminta membuat transaksi tujuh kali sebanyak RM7,900 ke akaun seorang wanita.

Kedua-dua tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman mengikut Seksyen 420 Kanun boleh dipenjarakan tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda.


Pengarang :