Pengunjung memenuhi Pavilion Selangor bagi melihat tempat menarik untuk bercuti di Selangor ketika Fiesta Pusing Selangor Dulu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 2 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tourism Selangor sasar 70,000 pengunjung ke Matta Fair 2023

Oleh Fitri Hazim Hazam

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Tourism Selangor optimis sasaran 70,000 kedatangan pengunjung ke Pavilion Selangor mampu dicapai pada edisi kedua Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Shah Mohamad berkata dengan produk pelancongan terbaharu yang ditawarkan serta pelbagai aktiviti promosi pelancongan yang diadakan pihaknya yakin jumlah sasaran pengunjung itu mampu dicapai.

Beliau menambah menariknya di Selangor ialah negeri itu merupakan ‘Destinasi Pilihan’ pada Matta Fair kali ini.

Katanya kempen yang dilancar ‘Pusing Selangor Dulu’ merangkumi kerjasama dengan pemain industri pelancongan utama seperti pengendali hotel, agensi pelancongan termasuk rakan-rakan media.

“Eko sistem pelancongan Selangor sudah berubah menjadikan negeri ini destinasi pilihan untuk melancong. Dengan kekayaan sumber alam seperti keindahan sawah padi di Sekinchan, makanan enak dengan pandangan indah kampung merupakan tarikan eko-sistem pelancongan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad

“Kemudahan pengangkutan awam seperti bas Smart Selangor dan pengangkutan kereta api memudahkan aktiviti pelancongan di Selangor menjadi penyebab utama pelancong memilih negeri ini sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut yakin kedatangan jumlah pelancong ke Selangor tahun ini mengatasi rekod tahun lalu sebanyak 22 juta pelancong mengikut daya tarikan cuti hujung tahun.

“Tahun ini kami optimis kerana ramai pihak sudah melihat keistimewaan produk pelancongan di Selangor.

“Sebagai contoh dengan pendedahan di MATTA Fair dan pihak pempamer menawarkan harga pakej istimewa taman tema seperti Splash Mania potongan harga 80 peratus yang mempunyai tempoh sah laku hingga 31 Disember ini memudahkan perancangan percutian keluarga pada musim cuti sekolah hujung tahun,” katanya.

Beliau berkata pelbagai segmentasi dengan tarikan pelancongan yang banyak disediakan bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ salah satu pendekatan proaktif bertujuan mengukuhkan lagi pelancongan domestik negeri ini.


Pengarang :