Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Mantan Wakil Presiden Indonesia Drs Muhammad Jusuf Kalla membelek buku ketika merasmikan Peluncuran Buku Tuhfat al- Nafiz dan Dinamika Orang Bugis Ke Johor Pada Abad Ke-18 ketika Pameran Buku Antarabangsa Indonesia di Pusat Konvensyen Pameran Indonesia (ICE) BSD City, Jakarta pada 27 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tuhfat al-Nafis dilancar, usaha sama Malaysia-Indonesia terbit versi terbaharu

Daripada Fazallah Pit

JAKARTA, 27 SEPT: Dua buku termasuk versi terbaharu karya terkenal Tuhfat al-Nafis hasil usaha sama Malaysia dan Indonesia dilancarkan dalam Pesta Buku Antarabangsa Indonesia di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Wakil Presiden Indonesia ke-10 dan ke-12 Drs Muhammad Jusuf Kalla menyempurnakan pelancaran naskhah yang diusahakan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Universitas Negeri Makassar (UNM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Terdiri dalam banyak versi, Tuhfat al-Nafis: Jejak Susur Gulur Keturunan Melayu dan Bugis serta Raja-rajanya yang dilancarkan kali ini berdasarkan manuskrip asal yang tersimpan di muzium Indonesia.

Tuhfat al-Nafis karangan pujangga terkenal Raja Ali Haji antara 1866 hingga 1870 memuatkan pelbagai peristiwa penting melibatkan masyarakat Melayu-Bugis di rantau ini.

Selain memindah manuskrip jawi itu kepada rumi, Guru Besar Sejarah Kebudayaan dan Kepariwisataan di Universitas Negeri Makasar Prof Dr Andi Ima Kesuma juga menghasilkan buku Dinamika Orang Bugis ke Johor Pada Abad ke-18.

Sesi perbincangan bertema Ukhuwah Jati Diri ke Arah Menduniakan Nusantara dijalankan sebaik usai majlis pelancaran itu. Dimudah cara Pengerusi ITBM Noor Amin Ahmad, kupasan dibuat Amirudin, Prof Dr Andi dan mantan Naib Cancelor UTM Datuk Dr Wahid Omar.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bersama mantan wakil Presiden Indonesia Drs Muhammad Jusuf Kalla merasmikan Peluncuran Buku Tuhfat al- Nafiz dan Dinamika Orang Bugis Ke Johor Pada Abad Ke-18 ketika Pameran Buku Antarabangsa Indonesia di Pusat Konvensyen Pameran Indonesia (ICE) BSD City, Jakarta pada 27 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dalam sesi itu, Amirudin berpandangan negara-negara rumpun nusantara berupaya memimpin masyarakat antarabangsa pada masa depan khususnya berperanan sebagai pendamai di tengah-tengah kekacauan dunia.

Beliau juga percaya rantau tersebut mampu menjadi model baharu dunia sebagai pendamai dalam menangani banyak konflik geopolitik antarabangsa.

“Wilayah ini boleh memimpin masa depan selepas kita melihat kegalauan pada peringkat antarabangsa kerana kita ada aspek budaya dan adab yang tinggi dalam masyarakat kita.

“Ini boleh diketengah sebagai tawaran kepada dunia bagimana untuk menangani kegelisahan, kegawatan geopolitik sama ada di Eropah atau Asia Tenggara,” katanya lagi.

Amirudin percaya latar sejarah meskipun ada banyak kisah kepahlawanan menunjukkan asas jati diri masyarkat nusantara yang memiliki sikap pendamai yang beradab sejak turun-temurun.

“Beradab, damai tapi jangan dicabar atau disentuh intitusi agama serta adat budaya kerana itulah jati diri sebanar masyarakat nusantara,” katanya


Pengarang :