Pengurus Besar Kohijrah Mohammad Syukri Ismail meninjau program Sayur Segar KoHijrah Jualan Rakyat di Laman Niaga Usahawan KoHijrah di Seksyen 15, Shah Alam pada 11 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Usahawan dipelawa sertai KoHijrah, luaskan pasaran produk

SHAH ALAM, 12 SEPT: Usahawan di negeri ini dipelawa menyertai Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) untuk meluaskan pasaran produk.

Pengurus Besarnya Mohammad Syukri Ismail berkata koperasi itu yang beroperasi sejak 2016 kini mempunyai seramai 12,150 usahawan dan terbukti berjaya mengembangkan peniagaan ahlinya.

Pengurus Besar Kohijrah Mohammad Syukri Ismail ketika ditemui pada program Sayur Segar KoHijrah Jualan Rakyat di Laman Niaga Usahawan KoHijrah di Seksyen 15, Shah Alam pada 11 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kita mengalu-alukan mana-mana usahawan di Selangor yang berminat menjadi sebahagian daripada warga KoHijrah untuk kami bantu memasarkan produk mereka.

“Yuran pendaftaran serendah RM50 seumur hidup dengan modal perkongsian antara RM100 hingga RM10,000 bergantung kepada kemampuan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Sayur Segar KoHijrah Jualan Rakyat di Laman Niaga Usahawan KoHijrah di Seksyen 15 di sini, semalam.

Menitikberatkan kebajikan, Mohammad Syukri berkata sebanyak 10 peratus pulangan dividen akan diberi KoHijrah kepada usahawannya pada setiap tahun.

“Antara syarat untuk menjadi usahawan KoHijrah adalah mesti berniaga di Selangor dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Mereka yang berminat boleh hadir ke Wisma KoHijrah di Seksyen 32 Shah Alam atau hubungi talian 03-5525 1109 untuk maklumat lanjut.

KoHijrah adalah sebuah koperasi yang diwujudkan bagi meningkatkan kedudukan sosioekonomi peserta HIJRAH yang menjadi ahlinya.

Projek dijalankan antaranya Tabung Kebajikan Hijrah Selangor, sewaan padang, Ladang Alam Warisan, Kendera Saji, mesin layan diri,  penjualan lembu korban, pelaburan getah beku dan MyTani.


Pengarang :