Perarakan kontinjen 100 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membawa Jalur Gemilang bersaiz 24.4 meter x 12.2 meter oleh pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2023. Foto Facebook Bernama
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Usul cuti 16 September gerakkan tekad laksana Perjanjian Malaysia 1963

OLEH FATHI ARIS OMAR

Tiga belas tahun lalu, masih ada kekeliruan. Cuti umum Hari Malaysia yang disambut pertama kali di seluruh negara pada 16 September 2010 sepatutnya bergaji atau tidak?

Maka Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam terpaksa menjelaskan dasar baharu itu susulan pertanyaan syarikat swasta yang masih tidak pasti status “cuti umum” tersebut.

“Perkara ini tertakluk di bawah Seksyen 60D(1)(b) Akta Kerja 1955,” katanya. Penjelasan seperti ini terpaksa dibuat kerana cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008 tidak terus diterima kerajaan.

Sejarah pembentukan Malaysia pada 16 September enam puluh tahun lalu tidak dipertikaikan lagi. Walau tarikh asal yang dirancang sepatutnya 31 Ogos 1963.

Namun tanggal 16 September tidak pernah dijadikan hari kelepasan am negara. Ia hanya muncul apabila Anwar mencadangkan kepada kerajaan persekutuan, termasuk menggesa lima negeri Pakatan Rakyat menyambutnya tahun itu.

Semuanya ini bermula selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, pertama kali menafikan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional. Selain Kelantan, empat lagi negeri termasuk Selangor jatuh ke tangan gabungan pembangkang.

Susulan itu, terdengar desas-desus sejumlah besar ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak berminat menyertai Pakatan Rakyat. Permohonan dibuat agar kerajaan yang diketuai Tun Abdullah Ahmad Badawi memanggil sidang khas Parlimen.

Kontroversi meletus, langkah tersebut dikatakan akan berlaku pada beberapa tarikh termasuk 16 September. Sejarah kemudiannya membuktikan ia tidak mungkin berlaku kerana sidang khas Parlimen bagi menguji sokongan terhadap kerajaan tidak pernah diadakan.

Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terdiri daripada pelbagai kaum yang lengkap berpakaian tradisional kaum dan etnik mengibarkan Jalur Gemilang sempena Program Kibar Jalur Gemilang 2023 bagi menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan di UMT pada 23 Ogos 2023. Foto BERNAMA

Anwar, yang kini perdana menteri, menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat bagi mendapatkan persetujuan perdana menteri agar diadakan sidang khas dengan notis undi tidak percaya kepada Abdullah sendiri!

“Namun surat itu tidak dijawab dan Abdullah menolak cadangan diadakan sidang khas Parlimen,” katanya beberapa tahun kemudian.

Ketika semua tertanya-tanya apa yang bakal terjadi, Anwar mencadangkan Hari Malaysia seharusnya disambut dengan cuti umum pada 16 September. Lima negeri Pakatan Rakyat termasuk Kelantan diseru agar menyambut dan memberi cuti pada hari tersebut.

Cadangan memperingati peristiwa penting sejarah Malaysia itu segera mendapat bantahan kerajaan persekutuan termasuk daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Sebagai sebuah negara, kita patut ada satu sahaja Hari Kemerdekaan sebab kita sudah pilih itulah hari kemerdekaan negara kita,” katanya pada 2 September 2008.

PAS bantah perjanjian

Sehari selepas itu, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek menempelak PAS, lalu mengungkitkan sejarah parti itu dan Kelantan yang membantah pembentukan Malaysia dengan mengheret kerajaan ke mahkamah pada 10 September 1963.

Dalam bidang perundangan, kes klasik isu federalisme dirujuk sebagai Government of the State of Kelantan v The Government of the Federation of Malaya and Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj [1963].

Kesatuan sekerja dan ahli akademik juga dilaporkan membantah cadangan menyambut Hari Malaysia dengan memberi cuti umum. Namun, pada 26 September 2008, profesor terkenal Khoo Kay Kim bersetuju cuti umum diwartakan.

“Tarikh 16 September adalah ulangan kita untuk mengingati tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1963 yang kemudian ditukar menjadi Persekutuan Malaysia.

“Oleh itu, mengapa kita tidak boleh bertolak-ansur untuk menjadikan tarikh 16 September sebagai sebahagian daripada hari kebesaran negara untuk dijadikan cuti umum,” katanya kepada Bernama.

Sejarawan itu mengulas kenyataan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang memaklumkan kerajaan bersetuju 16 September disambut sebagai Hari Malaysia di seluruh negara.

Beliau dilaporkan sebagai berkata Hari Malaysia sebelum ini disambut di Sabah dan Sarawak sahaja. Sekarang wajarlah ia disambut di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil melancarkan logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) di Esplanade, Taman KLCC pada 27 Mei 2023. Foto Facebook Fahmi Fadzil

Namun, sambutan Hari Malaysia pada 2008 dianjak kepada 18 Oktober kerana 16 September jatuh pada bulan puasa.

Setahun kemudian, masih tiada keputusan tentang cuti umum pada Hari Malaysia. Tanggal 16 September 2009 berlalu. Tiba-tiba sebulan kemudian, 19 Oktober, Najib yang menggantikan Abdullah mengumumkan cuti Hari Malaysia bermula 2010.

Atas semangat hari tersebutlah, Putrajaya berusaha mengembalikan pelaksanaan butiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dimeterai pada 9 Julai.

Penjanjian ini (sebelum Singapura dikeluarkan pada 1965) didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu oleh kerajaan United Kingdom (UK) pada 21 September 1970.

Sempena ulang tahun ke-55 tanggal keramat ini, setelah terbentuk kerajaan Pakatan Harapan mulai Mei 2018, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan dokumen ringkas Kupasan Sejarah Perjanjian Malaysia 1963.

Anwar, meneraju Kerajaan Perpaduan mulai 24 November lalu, terus menegaskan iltizam untuk menyegerakan perjanjian tersebut yang masih tidak tertunai sepenuhnya dalam tempoh enam dasawarsa.

LIKU PERJALANAN PERJANJIAN MALAYSIA 1963

27 Mei 1961
Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj cadang gabungkan Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura

23 Julai 1961
Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia, diketuai Donald Stephen, ditubuh bagi jelaskan konsep Malaysia kepada Sabah, Sarawak dan Brunei

17 Januari 1962
Suruhanjaya Cobbold dibentuk bagi mengumpul pandangan penduduk dan kumpulan penting di Sabah dan Sarawak

21 Jun 1962
Laporan Suruhanjaya Cobbold siap dan dikemukakan kepada kerajaan British dan Persekutuan Tanah Melayu

1 Ogos 1962
Jawatankuasa Antara Kerajaan dibentuk bagi merangka perlembagaan Malaysia

20 Januari 1963
Presiden Indonesia Sukarno isytihar konfrontasi, lancar slogan Ganyang Malaysia sebagai bantahan

27 Februari 1963
Syor, jaminan dan aku janji antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak ditandatangani

9 Julai 1963
Perjanjian Malaysia ditandatangani antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura dengan UK

31 Ogos 1963
Tarikh asal yang dirancang untuk pembentukan rasmi Malaysia ketika perjanjian dimeterai pada Julai

10 September 1963
PAS melalui kerajaan Kelantan cabar keabsahan perjanjian Malaysia

14 September 1963
Laporan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) siap, terlambat dua minggu daripada tanggal asal 31 Ogos

16 September 1963
Upacara perisytiharan Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Tunku Abdul Rahman laung “Merdeka” sebanyak tujuh kali

9 Ogos 1965
Singapura dikeluarkan daripada persekutuan Malaysia

3 Jun 1966
Filipina dan Malaysia sambung semula hubungan diplomatik yang terputus akibat bantahan

11 Ogos 1966
Thailand perantara damaikan hubungan Malaysia dan Indonesia

21 September 1970
Perjanjian 11 perkara didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) oleh kerajaan UK

27 Ogos 1976
Pindaan perlembagaan: Sabah dan Sarawak dianggap dua negeri setaraf 11 lagi negeri Persekutuan Tanah Melayu, bukan rakan sekutu seperti asal 1963

31 Ogos 2008
Anwar cadang 16 September diberikan cuti umum di seluruh negara untuk sambutan Hari Malaysia

16 September 2010
Cuti umum pertama seluruh negara bagi sambutan Hari Malaysia

14 Disember 2021
Pindaan Perkara 1(2) dan 160(2) Perlembagaan Persekutuan, kembalikan hak Sabah dan Sarawak

 


Pengarang :