ADN Hulu Bernam Mu’izzuddeen Mahyuddin ditemui pada mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat pembangkang akur, sifatkan titah Sultan teguran umum

SHAH ALAM, 19 SEPT: Wakil rakyat Sementa Noor Najhan Mohamad Salleh menganggap titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya tidak memperalat agama dalam politik bersifat teguran umum.

Menjunjung titah tersebut, beliau bertekad untuk melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin tanpa menyentuh isu sensitif termasuk agama yang mungkin boleh memecah-belah perpaduan kaum.

“Teguran Tuanku kena ambil perhatian. Sebenarnya Baginda tidak tujukan kepada mana-mana parti sebaliknya teguran umum. Selama saya terlibat dengan politik, tiada isu (agama disentuh).

ADN Sementa Noor Najhan Mohamad Salleh ditemui pada mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sebab yang dilakukan ini atas dasar bersama-sama cegah kemungkaran. Kalau depan mata nampak salah, kena bangun bersama mengikut saluran betul. Jangan ikut kehendak hati,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Hulu Bernam Bernam Mu’izzuddeen Mahyuddin turut menjunjung titah Baginda supaya tidak memperalat agama demi kepentingan politik.

“Saya setuju dengan teguran Tuanku dan patuh kepada titah tersebut selain tidak membelakangi apa-apa yang dititah. Kita mengangkat dan mengikut apa-apa arahan Baginda,” katanya.

Pada 12 September, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Baginda menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab juga perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.


Pengarang :