Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama hadirin mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wawasan Madani penting dan cocok untuk dunia kini

OLEH M. DIN SYAMSUDDIN

WAWASAN Madani bukanlah suatu wawasan baharu, tetapi sudah ada sejak masa awal Islam, iaitu pada zaman Rasulullah SAW dan berkembang dalam lintasan sejarah dengan berbagai improvisasi dan modifikasi.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi pemaknaan penting. Beliau meletakkan landasan filosofikal dan mengajukan kerangka operasional.

Apa yang lebih penting dalam Wawasan Madani baharu daripada Anwar terdapat upaya pemaduan antara masyarakat dan negara dan penghimpunan semua lapisan masyarakat serta sektor kehidupan atau pembangunan negara.

Wawasan Madani sudah ada sejak masa awal Islam dan menjadi cita-cita sosial Islam. Pembawa Agama Islam, Nabi Muhammad SAW setelah hijrah ke Yatsrib, yang semula jadi merupakan fenomena pendesaan (rural phenomenon) mengubahnya menjadi al-Madinah yang merupakan fenomena perkotaan (urban phenomenon).

Dalam masa singkat, Nabi Muhammad SAW berhasil membangunkan suatu tatanan ideal iaitu al-umah dan al-madinah.

Yang pertama merupakan peranti lunak (software) dan yang kedua merupakan peranti keras (hardware). Kedua-dua hal ini membentuk madani menurut Islam, iaitu al-umah dan al-Madinah.

Ummah, sebagai dimensi esoterik adalah komuniti yang mempunyai kesamaan keyakinan dan tujuan, serta berasaskan pada nilai-nilai persamaan (al-musawah), keadilan (al-‘adalah), dan permusyawaratan (al-syura).

Sedangkan Madinah, sebagai dimensi eksoterik merupakan penjelmaan dari daya cipta warga masyarakat.

Dalam bentuk peradaban atau tamadun maju, masyarakat Nabawi ini adalah masyarakat majmuk yang hidup berdampingan secara damai dalam budaya saling menghormati, saling mempercayai dan bekerjasama serta membangunkan kehidupan bersama untuk mewujudkan cita-cita bersama.

Konsep dan visi

Wawasan Madani Nabawi pada masa pasca Nabi Muhammad SAW, dikembangkan oleh para ulama dengan berbagai konsep dan visi sesuai dengan konteks sosial budaya dan politik yang ada.

Mereka mengajukan cita-cita beragam. Para fukaha mengajukan konsep “Negara Sejahtera” dengan tujuan hidup bermasyarakat untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan di akhirat (sa’adat al-darain).

Para filosuf, seperti Al-Farabi mengajukan konsep Negara Utama iaitu negara dan masyarakat yang memperoleh keutamaan kerana berpegang teguh pada nilai-nilai etika dan moral kebaikan.

Kumpulan filosuf yang menamakan diri Al-Ikhwan al-Safa’ mengajukan teori lain iaitu al- Madinat al-Fadilat al-Ruhaniyah (Negara Utama Rohaniah). Ibnu Khaldun mengajukan teori umran iaitu suatu tatanan masyarakat yang bekerjasama dalam mewujudkan kemakmuran bersama.

Pada zaman moden, konsep ummah dikembangkan menjadi masyarakat konstitusional, iaitu masyarakat yang berpegang teguh pada konstitusi sebagai kesepakatan warga negara.

Muhammad Abduh menambahkan tiga asas ummah (al-musawah, al-‘adalah, al-shura) dengan asas keempat iaitu al-qanun atau konstitusi.

Asas keempat dari ummah ini menunjukkan bahawa pada era Negara Bangsa (nation state) kaum Muslimin hidup di suatu negara sebagai satu kesepakatan bersama kelompok-kelompok lain dalam sebuah bangsa majmuk.

Baik sebagai kumpulan majoriti mahu pun minoriti, kaum Muslimin hidup berdampingan secara damai dalam persatuan dan kesatuan membangun negara.

Pada latar kaum Muslimin, sebagai kumpulan majoriti dan apalagi Islam menjadi agama rasmi negara, adalah menjadi kewajipan syarie dan rasional pemerintahan muslim membangun tatanan (aturan) masyarakat atas asas Wawasan Madani.

Dalam kaitan inilah Wawasan Malaysia Madani Perdana Menteri memiliki relevansi, apresiasi dan obsesi.

Wawasan Madani yang digagaskan oleh Anwar untuk Malaysia (Malaysia Madani) menarik untuk dibahaskan.

Maksud Madani

Pertama, walaupun kepanjangan dari istilah MADANI (kemaMpanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormat, keyakiNan dan Ihsan) terasa dipaksakan, namun makna daripada kata-kata itu dapat difahami.

Keenam-enam kata yang menjadi penjelasan konsep Madani adalah nilai-nilai etika yang berhubungan dengan makna madani dalam bahasa asal iaitu Bahasa Arab. Dalam Bahasa Arab, kata “madani” mengandung erti maju, dan kerana ia berhubungan dengan kata “tamadun” yang sinonim dengan kata Bahasa Inggeris “civilization” atau dalam Bahasa Melayu “peradaban”, maka kata “madani” dan “tamadun” memiliki akar kata yang sama dengan kata “Madinah”.

Maka Wawasan Madani dapat difahami sebagai visi untuk mewujudkan tamadun atau peradaban tinggi (high civilization).

Kedua, keenam-enam kata itu juga sekali gus sebagai nilai kepada Madani (juga enam kata/nilai pada konsep SCRIPT: Sustainability, Care and compassion, Respect, Innovation, Prosperity, Trust merupakan nilai-nilai etika untuk kemajuan, keunggulan dan kejayaan.

Ketiga, pada Wawasan Malaysia Madani dapat difahami adanya suatu visi besar ke depan iaitu kemajuan, keunggulan dan kejayaan Malaysia.

Hal ini lebih jelas tersurat dan tersirat pada Visi Perdana Menteri seperti mana yang tertulis dalam SCRIPT for a Better Malaysia, An Empowering Vision and Policy Framework for Action (Institut Darel Ehsan, 2022, page 23) bahawa Our Vision: To build a sustainable and prosperous Malaysia based on care and compassion, mutual respect, innovation, and trust, where inclusiveness and equality is embraced by the whole nation – ultimately a just Malaysian society.

Dalam kaitan ini, visi Anwar untuk Malaysia adalah lebih dari sekadar a welfare state (Negara Kesejahteraan), tetapi sebagai a just state (Negara Keadilan), atau Negara Kesejahteraan dan Negara Keadilan sekali gus.

Keempat, wawasan sedemikian adalah bersifat Islamik dan sejalan dengan Negara Madani. Tentu paradigma etika Negara Madani tersebut mencakupi nilai-nilai etika yang ada dalam al-Ummah dan al-Madinah (dua peranti dan dua dimensi daripada Cita-Cita Sosial Islam) iaitu persamaan, keadilan, permusyawaratan, selain kemajuan, keunggulan dan kejayaan.

Yang kelima, akan mudah difahami oleh masyarakat global jika Wawasan Madani dijabarkan (dijelaskan) ke dalam paradigma etika derivatif berupa nilai-nilai dasar, baik yang bersifat sentral mahupun instrumental.

Untuk kepentingan praktis, kata Madani dapat juga diajukan kepanjangan baharu seperti Maju, Aman, Damai, Adil, Nikmat, dan Indah. Atau apakah ada kepanjangan lain?

Profesor Dr M Din Syamsuddin ialah Guru Besar Politik Islam Global, Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta.


Pengarang :