AGENSISELANGOR

WBS anjur seminar percuma, bincang idea pembangunan institusi keluarga

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 15 SEPT: Wanita Berdaya Selangor (WBS) menganjurkan Seminar Keluarga Negeri Selangor bertemakan Keluarga Akar Masyarakat secara percuma di Bangi Resort Hotel pada 21 September.

Agensi itu memaklumkan, seminar yang membincangkan idea pembangunan dan pengukuhan institusi keluarga terbuka kepada agensi kerajaan, ahli akademik, badan pemikir, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam.

“Bagaimanapun tempat yang disediakan adalah terhad dan pihak yang berminat boleh membuat daftaran segera di pautan https://bit.ly/SeminarKeluargaSelangor2023 atau imbas kod QR di poster,” menurut WBS di Facebook.

Tambah agensi itu, resolusi perbincangan pada seminar itu juga akan diutarakan kepada Kerajaan Negeri bagi perancangan program dan inisiatif yang lebih efektif demi kepentingan dan kesejahteraan keluarga di Selangor.

“Program pengisian sepanjang seminar adalah pembentangan kertas kerja berkaitan sosio-ekonomi dan kesejahteraan keluarga. Turut diadakan adalah forum berkenaan ekonomi penjagaan dan penuaan masyarakat serta perbincangan berkumpulan,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu dijadual memberi ucaptama dalam seminar berkenaan.

 


Pengarang :