AGENDANASIONAL

13 artis Malaysia-Thailand angkat warisan budaya gastronomi Langkasuka

TUMPAT, 8 OKT: Seramai 13 artis dari Malaysia dan Patani, Thailand bekerjasama mengangkat warisan budaya tempatan menerusi makanan istimewa masyarakat Orang Melayu Langkasuka menerusi Pameran After Monsoon 02: Gastronomi Langkasuka.

Pengarah program Azhar Ibrahim berkata pameran itu merupakan sebuah projek seni yang menggali pengaruh kerajaan kuno Langkasuka pada gastronomi dan budaya makanan di Kelantan dan Patani.

“Kita mahu memperkenal dan mengangkat kehebatan kerajaan Melayu Tua melalui makanan dan budaya yang bukan hanya dihasilkan melalui lukisan tetapi ia boleh dimakan, dirasa dan disentuh melalui bekwoh (kenduri) Langkasuka itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pameran After Monsoon 02: Gastronomi Langkasuka yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad di Dewan Komuniti Tumpat, di sini hari ini.

Pameran bermula 1 hingga 15 Oktober ini diadakan dengan hasrat untuk mengangkat warisan budaya makanan istimewa dari sejarah kehidupan orang Melayu Langkasuka serta memperkenalkan sejarah setempat kepada generasi baharu.

Aktiviti utama program itu termasuk pameran seni, Bekwoh Langkasuka, lumba perahu serta persembahan kebudayaan.

– BERNAMA


Pengarang :