Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

175 calon SPM B40 dapat akses bahan pendidikan digital sumbangan Air Selangor

SHAH ALAM, 27 OKT: Seramai 175 pelajar kurang berkemampuan yang bakal menduduki menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) mendapat akses kepada bahan pendidikan digital sumbangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Pemangku ketua pegawai eksekutifnya berkata sumbangan langganan aplikasi Pandai Premium memanfaat 70 anak-anak warga kerja Air Selangor dan selebihnya pelajar bawah Yayasan Wilayah Persekutuan dan Kampung Batu 3, Semenyih.

Menurut Ir. Abas Abdullah, agensi berkenaan turut bekerjasama dengan Pandai Education Sdn Bhd (Pandai) bawah program tanggungjawab sosial korporat bagi menyediakan kursus pendidikan yang interaktif, mampan dan lestari.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah berucap ketika Sidang media Pelaksanaan Kerja-kerja Penambahbaikan, Penyenggaraan dan pengantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat pada 5 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Inisiatif ini merupakan lanjutan daripada usaha memperkasakan pembelajaran dalam talian yang diperkenalkan pada 2020 bagi membantu anak-anak daripada golongan berpendapatan rendah B40 meneruskan pembelajaran.

“Menerusi aplikasi Pandai Premium pelajar-pelajar bakal menduduki SPM kekal cemerlang dan terus diberikan perhatian dalam menerima pembelajaran yang berkualiti,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut berharap menerusi langganan aplikasi pembelajaran dalam talian itu meningkatkan pencapaian akademik pelajar terlibat.

Pandai Premium merupakan pelan langganan lengkap yang membolehkan pelajar untuk memperoleh antaranya soalan latihan, ujian dan nota.

Turut disediakan menerusi aplikasi yang boleh diakses apda bila-bila masa ialah tuisyen dalam talian untuk semua subjek dan contoh soalan peperiksaan untuk ulangkaji.


Pengarang :