EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi bergambar bersama agensi yang terlibat selepas majlis Latih Amal Ops ISPS EX-Ganjar di Northport Pelabuhan Klang pada 11 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

366 anggota polis diambil tindakan, 47 selesai dituduh di mahkamah

KLANG, 11 OKT: Seramai 366 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan termasuk 47 dibawa ke muka pengadilan sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata meskipun jumlah itu kecil berbanding keseluruhan 15,000 anggota namun perkara itu dipandang serius dan perlu ditangani.

“Berdasarkan rekod, seramai 300 anggota dan 19 pegawai kanan polis di negeri ini terlibat pelbagai kesalahan tatatertib setakat ini dan dikenakan gantung, tahan serta buang kerja.

“Seramai 45 anggota dan dua pegawai kanan selesai dituduh di mahkamah melibatkan kesalahan jenayah antaranya rasuah, dadah,” kata pada sidang media Latih Amal EX-Ganjar 2023 di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan bercakap kepada media selepas majlis Latih Amal Ops ISPS EX-Ganjar di Northport, Klang pada 11 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Hussein berkata jumlah berkenaan bagaimanapun menurun berbanding kesalahan jenayah dan tatatertib 576 anggota dalam tempoh sama tahun lalu.

“Statistik 2022 merekodkan 445 anggota dan 17 pegawai kanan polis dikenakan tindakan tatatertib manakala 112 anggota dan dua pegawai atas kesalahan jenayah.

“Polis tidak berkompromi dengan mana-mana salah laku anggota. Tiada ruang dan peluang kepada yang melakukan kesalahan, sekiranya ada memang kita ambil tindakan tegas,” katanya.

Demonstrasi operasi menyelamat tebusan pada majlis Latih Amal Ops ISPS EX-Ganjar di Northport Pelabuhan Klang pada 11 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu Hussein turut memaklumkan indeks jenayah negeri meningkat enam peratus berbanding tahun lalu namun tidak melangkaui nilai ambang ditetapkan pihaknya.

“Ada peningkatan susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi selepas pandemik Covid-19. Antara jenayah dilakukan bunuh dan kes seksual termasuk rogol,” katanya.


Pengarang :