Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 5 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

392 individu ditahan, barangan seludup bernilai lebih RM215 juta dirampas

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Seramai 392 individu termasuk 64 warga asing ditahan dari Januari hingga semalam, kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan barangan serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Hazani Ghazali berkata mereka yang berusia 18 hingga 60 tahun itu ditahan dalam 165 serbuan di seluruh negara, oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

“Untuk tempoh sama WCB/PSK merampas pelbagai barangan dianggarkan berjumlah RM215,565,308.87,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Hazani berkata WCB/PSK telah menumpaskan penyeludupan diesel dan ayam sejuk beku dalam 12 siri serbuan di seluruh negara antara 10 hingga 20 Oktober lalu.

Beliau berkata dalam empat serbuan Op Tiris, pihaknya menahan 12 lelaki termasuk seorang warga Myanmar berumur 20 hingga 48 tahun dan merampas diesel yang cuba diselewengkan bernilai RM1,468,321.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Hazani berkata dalam lapan serbuan OP Taring, WCB/PSK telah menahan seorang lelaki dan dua wanita Indonesia berusia 26 hingga 36 tahun serta merampas 54,515 kotak mengandungi 144 kilogram (kg) gula pasir, 880kg minyak masak dan ayam sejuk beku bernilai RM14,121,465.36.

“Ketiga-tiga yang ditahan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Haiwan 2015,” katanya.

Menurut beliau, polis sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Selain itu katanya, operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain akan diteruskan dan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat digalakkan agar kegiatan jenayah berkenaan dapat dibanteras sepenuhnya.

– BERNAMA


Pengarang :