BUDAYARENCANA

Tuan kandang

Tuan kandang

(i)
Tuan Kandang berdiri di atas
Melontar makan pada haiwan-haiwan
Haiwan-haiwan sudah kekenyangan
Tetapi masih meminta-minta makanan
Dilempar dedak dan macam-macam
Berebut-rebut sambil ancam-mengancam

(ii)
Datang penjaga kandang kepada Tuan Kandang
Meminta simpati segantang beras untuk dimakan
Gajinya tertunggak berbulan
Pakaiannya terkoyak sakan
Tuan Kandang memberi secupak beras
Katanya boleh tahan sebulan

(iii)
Tuan Kandang melawat haiwan-haiwan lagi
Haiwannya bising meminta makan
Dilempar dedak dan macam-macam
Haiwan-haiwan pun makan dan makan
Tuan Kandang tersenyum gembira
Puas melihat gelagat haiwan-haiwannya

(iv)
Selepas sebulan penjaga kandang datang lagi
Selesai membersih najis haiwan-haiwan-
dia meminta lagi segantang beras
Katanya anaknya yang tujuh, mati seorang
Tuan Kandang luah simpati
Dihulur secupak beras untuk sebulan

(v)
Orang kampung berkumpul di rumah Tuan Kandang
Mendengarkan sebuah kisah darinya
Tentang cupak-cupak beras yang diberi-
tanda dia majikan prihatin
Lalu menitipkan pesan
Agar tidak bersikap zalim

 

Afrina Aziz


Pengarang :