Murid Sekolah Kebangsaan Shah Alam Seksyen 16 beratur sebelum masuk ke dalam kelas ketika tinjauan hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 2022/2023 pada 21 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

9,500 guru baharu diambil November ini atasi kekurangan pendidik

PASIR PUTEH, 7 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka membuat pengambilan 9,500 guru baharu November ini bagi mengatasi isu kekurangan guru ketika ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata proses temu duga telah selesai dan penempatan segera akan dibuat.

“Isu kekurangan guru berlaku bila ada persaraan dan berhenti, kita akan cepat-cepat ganti.

“Sebab itu kekurangan ini bersifat sementara dan proses dapatkan guru dilaksanakan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) segera mungkin bagi memastikan kekosongan itu bersifat sementara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agrotek Madani@KVKPM 2023 di Kolej Vokasional Pasir Puteh yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali, di sini hari ini.

Sementara itu, Fadhlina berkata kerja penyelenggaraan tandas sekolah di bawah KPM sudah 90 peratus selesai.

“Projek dipantau oleh Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), saya dimaklumkan sudah 90 peratus siap.

“Kita jangka hujung Oktober akan dapat kenal pasti angka secara tepat, sekarang semua sedang berjalan. Alhamdulillah ada juga yang telah siap dilaksanakan,” katanya.

Pada Julai lalu, KPM dilaporkan memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah seluruh negara untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan pelajar menerusi peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah.

– BERNAMA


Pengarang :