Ahli Parlimen Selayang William Leong (kiri, tiga) dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat (kiri, dua) meninjau kemudahan infrastruktur sekitar Rawang pada 17 Oktober 2023. Foto Facebook Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

ADN Rawang: Dana RM365,000 baik pulih jalan, saliran air elak risiko banjir

SHAH ALAM, 18 OKT: Sejumlah RM365,000 diperuntuk bagi melaksanakan dua projek membaik pulih infrastruktur di Rawang yang dijadualkan siap bulan depan, kata wakil rakyatnya.

Chua Wei Kiat berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM200,000 dibelanjakan untuk mengecat garisan jalan dari Petronas Batu 16 hingga Giant, Rawang manakala baki RM165,000 lagi untuk kerja baik pulih dan membesarkan lubang saliran di depan Masjid Kampung Lee Kim Sai.

“Kita mohon peruntukan cat garisan jalan kerana garisan yang pudar boleh boleh mendatangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.

“Manakala di depan Masjid Kampung Lee Kim Sai pula kerap berlaku banjir kilat apabila hujan lebat. Jadi kerja membesarkan saliran perlu dilaksanakan segera,” katanya kepada Selangorkini.

Wei Kiat turut berterima kasih kepada semua pihak terutama Ahli Parlimen Selayang William Leong dan Jabatan Kerja Raya Gombak kerana menyalurkan peruntukan bagi kerja baik pulih itu.


Pengarang :