Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau persiapan akhir Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan pada 12 Oktober 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar bersemangat bentang Belanjawan Kerajaan Perpaduan petang ini

PUTRAJAYA, 13 OKT: Memasuki tahun kedua melaksanakan tanggungjaawab membentang belanjawan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan beliau telah bersedia dan akan membentang perancangan belanjawan negara itu dengan penuh bersemangat.

Ditanya perasaannya sebelum membentangkan belanjawan, Anwar ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini hari ini, secara ringkas berkata: “Semangat… semangat. Pasti okay”.

Pada pukul 4 petang ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen.

Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna ungu muda bersamping dan mengenakan selempang Palestin, kemudian bersalaman dengan jemaah sebelum bergerak meninggalkan perkarangan masjid itu.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah yang terdiri daripada penduduk setempat serta penjawat awam, dan mendengar khutbah bertajuk Solidariti Pertahankan Palestin yang disampaikan Ketua Imam Masjid Mahmoodiah Abu Bakar Mohd Noor.

Beliau yang tiba di masjid itu pukul 12.55 tengah hari, disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan pihak pengurusan masjid.

Anwar kemudiannya menjamu selera dengan menikmati asam pedas dan kari ikan di Medan Selera Masjid Mahmoodiah yang terletak dalam kawasan masjid itu.

Perdana Menteri turut melancarkan Tabung Palestin Jabatan Perdana Menteri-Hal Ehwal Agama (JPM-HEA).

Aktiviti makan tengah hari dan menunaikan solat Jumaat bersama rakyat merupakan program rutin mingguan Anwar sejak menerajui Kerajaan Perpaduan selepas Kabinet dibentuk pada 2 Dis lepas.

– BERNAMA


Pengarang :