Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istandbul, Turki pada 22 Oktober 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar bertemu Erdogan hari ini, konflik Gaza antara topik perbincangan

ISTANBUL, 22 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bertemu Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan petang ini, sebelum menamatkan lawatan kerja dua harinya ke negara itu.

Pagi ini, beliau dijadualkan bertemu Menteri Kewangan Turkiye Mehmet Simsek di Hotel Shangrila di sini sebelum bertemu Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dan Pengarah Pertubuhan Perisikan Kebangsaan Turki Ibrahim Kalin.

Pada 3 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia) Perdana Menteri dijadualkan untuk bertemu Presiden Turkiye, dengan antara topik utama perbincangan berkaitan konflik di Gaza.

Pertempuran baru-baru ini di Palestin yang melibatkan pejuang Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel, telah mengakibatkan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak terkorban, sejak 7 Okt.

Anwar telah beberapa kali mengulangi komitmen Malaysia untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin.

Perdana Menteri kemudiannya akan berlepas ke Mesir dan dijadualkan bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi.

— BERNAMA

 


Pengarang :