Pengunjung melawat reruai pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Artis, syarikat ambil peluang promosi produk di sidang niaga Selangor

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Artis, Jasmin Hamid menyertai Sidang Kemuncak Niaga Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 bagi memperkenalkan produk makanan yang diusahakan bersama syarikat Imperasi Asia.

Pelakon berusia 51 tahun berkata menerusi sidang itu, produk minuman bertenaga serta makanan ringan berasaskan kulit ayam lebih dikenali ramai sekali gus mengembangkan perniagaan mereka.

“Produk kami ini di bawah kerajaan Perak dan dipromosikan kepada orang ramai.

Pelakon Jasmin Hamid menunjukkan produk yang dijualnya ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya harap lebih ramai pelanggan kunjungi kerana sidang dibuka kepada orang awam,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu syarikat penjual produk perisa makanan, Puteri meneruskan penyertaan di SIBS buat kali kedua susulan sambutan menggalakkan tahun lalu.

Eksekutif pembangunan perniagaannya Wardani Hilmi berkata, berkemungkinan syarikat yang menjual sambal garing dan pelbagai perisa sos itu akan meneruskan penyertaan pada masa depan.

Eksekutif pembangunan perniagaan Puteri,Wardani Hilmi ditemui pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini juga sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Negeri yang membantu kami dalam urusan perniagaan. Syarikat mendapat bimbingan dan latihan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor,” katanya.

Sidang tahunan yang diperkenalkan pada 2016 menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

Sidang bertaraf antarabangsa itu turut disertai agensi kerajaan termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Majlis Amanah Rakyat serta Jabatan Perikanan.

Antara negara luar yang mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini ialah China, Indonesia, Jepun, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia.


Pengarang :