AGENDAJENAYAH

Bapa, teman wanita ditahan dipercayai dera kanak-kanak lelaki

JOHOR BAHRU, 18 OKT: Pasangan kekasih ditahan Jumaat lalu selepas disyaki mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Pulai di sini.

Ketua Polis Daerah IPD Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin berkata kanak-kanak itu adalah anak kepada lelaki berumur 37 tahun manakala teman wanitanya berusia 39 tahun.

Beliau berkata kedua-dua individu itu ditahan susulan laporan polis yang diterima pada 4.13 petang, hari sama.

“Menurut pengadu yang juga seorang wanita, dia menerima maklumat bahawa kanak-kanak itu berada dalam tandas sebuah rumah dalam keadaan kurus serta tidak bermaya.

“Polis kemudiannya membawa kanak-kanak itu ke balai polis. Terdapat kesan pukul pada tubuh mangsa dan juga kesan pukul lama. Susulan itu, polis menahan kedua-dua pasangan kekasih berkenaan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurut Rahmat berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu didapati tidak bersekolah dan tinggal bersama bapa kandungnya serta teman wanita bapanya.

Katanya, kanak-kanak berkenaan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata kedua-dua individu itu direman sejak Jumaat lalu hingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

– BERNAMA


Pengarang :