SHAH ALAM, 13 OKT: Bekalan air di semua kawasan terjejas susulan penyenggaraan dan penggantian aset di loji rawatan air (LRA) Sungai Langat, pulih sepenuhnya pada 6 pagi tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyarankan pengguna membuka pili dan membiarkan air mengalir dalam tempoh lima hingga 10 minit bagi memastikan air bersih sepenuhnya.
“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya menerusi Facebook.
Selasa lalu, Air Selangor melaksanakan kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di LRA Sungai Langat yang menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.
Kerja yang dilaksanakan tertumpu kepada penggantian alatan usang antaranya penukaran injap pintu air berusia 50 tahun.