EXCO Pertanian Ir Izham Hashim melawat gerai pameran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Pavillion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Maeps, Serdang pada 6 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Belanjawan negeri diharap tumpu isu jaminan makanan, tingkat pendapatan petani

SHAH ALAM, 31 OKT: Belanjawan negeri yang bakal dibentang pada 10 November ini  diharap memberi tumpuan mengenai projek jaminan makanan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata isu berkaitan bekalan makanan yang cukup perlu ditiik beratkan sebagai persediaan sekiranya berlaku bencana atau kenaikan harga terlalu mendadak.

“Kita ada mengkaji beberapa perkara antaranya alternatif mewujudkan gudang makanan dianggarkan bernilai kira-kira RM100 juta yang menyimpan pelbagai keperluan asas seperti beras dan sebagainya.

“Kajian dilakukan bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi meneliti kaedah pelaksanaan dan pengurusan gudang kerana bekalan makanan mempunyai tarikh luput,” katanya kepada SelangorKini.

Tambahnya, antara lain yang perlu diberi penekanan ialah kaedah meningkatkan hasil tanaman padi dalam memastikan bekalan tidak terputus sekali gus meningkatkan pendapatan petani.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2024 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 10 November depan. Dewan dijadual bersidang mulai 10 November hingga 24 November.

Bagi belanjawan negeri tahun ini, sejumlah RM2.45 bilion diluluskan melibatkan perbelanjaan pengurusan berjumlah RM1.25 bilion manakala pembangunan pula sebanyak RM1.2 bilion.


Pengarang :