AGENDANASIONAL

DBP tarik diri Pesta Buku Frankfurt 2023

SHAH ALAM, 16 OKT: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023 susulan penganjurnya menyatakan sokongan terbuka terhadap Israel.

DBP dalam kenyataan ringkasnya di Facebook hari ini memaklumkan pengunduran agensi itu selaras pendirian kerajaan dalam krisis Palestin-Israel.

“Selaras dengan pendirian kerajaan dalam konflik Palestin-Israel pada ketika ini, DBP memutuskan untuk menarik diri daripada Pesta Buku Frankfurt 2023,” katanya.

Sebelum ini, pengarah pesta buku berkenaan Juergen Boos menyatakan solidariti dengan Israel selain menyifatkan serangan balas Hamas sebagai ‘melanggar hak asasi manusia’.

Selain DBP yang mewakili Malaysia, beberapa penerbit dari negara Islam termasuk Arab Saudi, Kuwait dan Indonesia turut menarik diri daripada pameran buku negara Jerman itu.

Pesta Buku Frankfurt 2023 yang dianjur pada Rabu hingga Ahad ini merupakan pameran buku yang menghimpunkan acara berkaitan kesusasteraan, buku ilmiah dan penerbitan terbesar dunia.


Pengarang :