Petugas Taska OKU Little Leaders Child Care Centre (LLCC) menunjukkan latihan yang diberikan kepada kanak-kanak istimewa sempena perasmian pusat berkenaan di Shah Alam pada 31 Oktober 2023
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Dua taska khas di Selangor bantu anak OKU dapat pendidikan sesuai

SHAH ALAM,31 OKT: Dua taska orang kurang upaya (OKU) yang beroperasi di Selangor membantu ibu bapa yang memiliki anak istimewa mendapat pendidikan dan intervensi bersesuaian.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata taska tersebut menggunakan pendekatan inklusif, penuh kasih sayang dan belas kasihan untuk memaksimumkan potensi kanak-kanak.

Beroperasi di Shah Alam dan Puchong, beliau menjelaskan Taska OKU Little Leaders Child Care Centre (LLCC) dan Taska OKU IstikaJaya menerima geran kerajaan persekutuan berjumlah RM374,520.

“Kita memperkenal taska OKU dan mempromosi kewujudannya untuk membantu ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak OKU mendapat pendidikan sesuai dengan ketidakupayaan dihadapi.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga menggalakkan penubuhan taska OKU oleh agensi kerajaan dan pihak swasta khususnya di Selangor,” katanya merasmikan taska LLCC di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Aiman Athirah Sabu.

Dalam pada itu, Anfaal berkata LLCC yang ditubuhkan pada 2021 merupakan taska OKU pertama berdaftar di Selangor dan memiliki 21 pelatih, tujuh pengasuh serta tiga jurupulih.

Jelasnya, taska berkenaan turut menjalin kolaborasi strategik dengan beberapa agensi selain mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“MBI banyak memberi sumbangan dengan membiayai sewaan taska dan memberikan insentif kepada kakitangan menerusi program bantuan Anak Istimewa Selangor (ANIS) bermula 2019,” katanya.

 

 

 

 


Pengarang :