Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi (tengah) menyerahkan baucar Jom Shopping kepada warga emas di pejabat pusat khidmat masyarakat Seri Serdang, Subang Jaya pada 3 Oktober 2023. Foto Facebook Abbas Azmi
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Seri Serdang terima lebih 50 permohonan baharu SMUE

SHAH ALAM, 6 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang menerima sebanyak 54 permohonan baharu Skim Mesra Usia Emas (SMUE) setakat akhir bulan lepas.

Wakil rakyatnya Abbas Azmi menjangkakan jumlah itu bertambah dari semasa ke semasa dengan permohonan yang layak akan memperoleh baucar beli-belah bernilai RM150.

“Sejak saya dipilih sebagai wakil rakyat dan menerima baucar ini daripada Kerajaan Negeri, kita menerima 54 permohonan baharu dengan 44 daripadanya sudah membuat tuntutan di pejabat pusat khidmat.

“Agihan baucar mula dibuat sejak pertengahan bulan lepas dan berterusan hingga sekarang. Penerima boleh menebus baucar ini di pasaraya Giant Seri Kembangan,” katanya kepada Selangorkini.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas berusia 60 tahun ke atas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Bermula tahun ini, nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.

Had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.


Pengarang :