KLANG, 11 OKT: Sebanyak 97 kawasan di negeri ini dikenal pasti sebagai lokasi kerap (hotspot) banjir susulan fenomena peralihan Monsun Timur Laut ketika ini.
EXCO pengurusan bencana berkata jumlah itu meliputi 23 lokasi di Klang; Sepang dan Hulu Langat (19), Gombak (13) serta Petaling (11).
Jelas Najwan Halimi, lokasi sama turut dikesan di Kuala Langat (lima), Kuala Selangor (empat), Sabak Bernam (dua) dan Hulu Selangor (satu).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/P-EX-Ganjar-6-500x333.jpg.webp)
“Keseluruhan kita kesan 390 lokasi berisiko namun 97 lokasi ini akan diberi perhatian.
“Persiapan kita kali ini lebih lengkap, EXCO dan Ahli Dewan Negeri diberi peranan memantau kawasan masing-masing.
“Unit bencana negeri juga sentiasa dapatkan maklum balas agensi berkaitan. Di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) semua bersiap siaga. Tahap kesediaan kita kali ini lebih baik dan yakin dapat atasinya,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan program Latih Amal OPS ISPS Ex-Ganjar 2023 anjuran Majlis Keselamatan Negara Selangor, Lembaga Pelabuhan Klang, Northport dan Westports.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/WhatsApp-Image-2023-05-17-at-15.59.21-500x375.jpeg.webp)
Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 10,000 pek bantuan asas disediakan bagi mendepani bah sekali ganda daripada bilangan mangsa banjir ketika bencana 2021.
Kerajaan Negeri turut meminta pasukan bomba, tentera serta Angkatan Pertahanan Awam menyediakan aset serta memastikannya dalam keadaan baik.