EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim (tengah) menyaksikan Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBSA yang diwakili Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman (tiga dari kiri) bersama Nestle Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Juan Aranols (tiga dari kanan) dan KPT Recycles Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya Lee Chay Chen (dua dari kanan) di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 pada 5 Oktober 2023. FOTO : SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Sasar semua PBT laksana program kitar semula tahun depan

SHAH ALAM, 5 OKT: Program pengasingan sampah kitar semula akan diperluas ke seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor mulai tahun depan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim berkata perkara itu memerlukan perancangan yang sistematik dan pelaksanaan secara berperingkat mengikut PBT.

Beliau turut memuji langkah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang berusaha melaksanakan program kitar semula termasuk berkolaborasi dengan syarikat luar.

“Kita sasar tahun depan kita akan perluaskan amalan pengasingan sampah kitar semula ke seluruh PBT kerana dengan tindakan ini kita dapat mengurangkan kira-kira 10 peratus daripada sampah yang dihasilkan.

“Harap PBT lain cakna mengenai perkara ini termasuk kita juga akan berusaha untuk memberi galakan dan mendidik orang awam agar melakukan amalan kitar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBSA bersama Nestle Malaysia dan KPT Recycles Sdn Bhd di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, di sini hari ini.

MoU program Kitar Semula Shah Alam itu merupakan inisiatif MBSA untuk memperkasakan lagi amalan pengasingan sampah dalam kalangan warga penduduk sekitar kawasan tersebut.

Majlis tersebut turut melancarkan fasa seterusnya bagi tiga projek kitar semula yang sedang dijalankan iaitu Kitar Semula Strata, Kutipan Pintu ke Pintu dan Program Kita Recycle (Kitar).

Turut diperkenalkan Aplikasi 3R Keluarga (3R Family App) yang inovatif oleh KPT Recycle untuk menyokong dan mendigitalkan projek tersebut.


Pengarang :