Penggunaan dron dalam pertanian dapat meningkatkan hasil dan menambah pendapatan petani (gambar hiasan). Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Selangor giat teroka teknologi baharu, perkasa pertanian moden

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Selangor giat meneroka teknologi baharu bagi memperkasa sektor pertanian moden sekali gus menjamin bekalan makanan di negeri ini.

EXCO pelaburan perdagangan berkata negeri tekad memajukan industri terbabit menggunakan teknologi baharu bertujuan mendapat hasil yang lebih tinggi bagi menampung keperluan rakyat.

“Pertanian moden merupakan fokus Kerajaan Negeri. Kita perlu memperbanyakkan lagi pertanian moden menggunakan teknologi baharu (tetapi) masalah sekarang teknologi.

“Kita perlu guna teknologi baharu dengan krisis perubahan iklim, (kekurangan) tenaga kerja dan tanah terhad,“ kata Ng Sze Han ditemui pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

EXCO Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azahari Idris bergambar bersama selepas meyaksikan penukaran perjanjian pesefahaman (MoU) ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, beliau menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) dan Universiti Putra Malaysia bagi memajukan sektor bioteknologi.

Sementara itu, Sze Han menyifatkan penyertaan 33 peratus syarikat industri makanan dan minuman (F&B) luar negara daripada lebih 1,000 pempamer pada SIBS edisi ketujuh sebagai permulaan yang baik untuk memajukan sektor berkaitan.

“Dengan kerjasama negara asing seperti China, Taiwan, Uganda dan Indonesia, kita tidak hanya bergantung kepada satu dua negara bagi bekalan makanan, sebaliknya boleh mempelbagai sumber.

“Pengusaha pertanian di Malaysia juga dapat berkongsi pengalaman dalam pertanian moden,” katanya lagi.


Pengarang :