EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan Mohd Najwan Halimi berucap pada majlis penyerahan tugas portfolio Belia dan Sukan di Majlis Sukan Negeri Selangor, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 24 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO, Unit Bencana bincang persiapan akhir risiko banjir petang ini

SHAH ALAM, 5 OKT: Persiapan menyeluruh mendepani fenomena peralihan Monsun Timur Laut (MTL) termasuk kawasan berisiko banjir akan dibincang pentadbiran negeri petang ini.

EXCO Bencana Najwan Halimi memaklumkan pertemuan dengan Unit Bencana Negeri akan menekankan risiko musibah itu selain langkah susulan supaya kerja menyelamat mangsa berjalan lancar.

“Kita utamakan aspek persediaan. Jentera negeri serta aset dalam keadaan siap siaga untuk operasi menyelamat selain kita memfokuskan kejadian banjir di kawasan bandar seperti Seri Muda.

“Ahli Pasukan Sukarelawan Selangor (Serve) turut dimaklumkan supaya bersedia. Kumpulan ini lebih kepada khidmat pascabah untuk kerja pembersihan kawasan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 10,000 pek bantuan asas disediakan bagi mendepani bah, sekali ganda daripada bilangan mangsa banjir pada bencana 2021.

Kerajaan Negeri turut meminta pasukan bomba, tentera serta Angkatan Pertahanan Awam menyediakan aset, selain pihak berkuasa tempatan mengadakan simulasi sebagai latihan berdepan situasi sebenar.


Pengarang :