BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Fahami hikmah larang aktivis politik ajar agama

Berikut kenyataan penuh Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berhubung maksud dan hikmah larangan tauliah aktivis politik mengajar Islam yang diterbitkan pada 9 Oktober 2023.


Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyelar kenyataan yang dimuat naik oleh penceramah Dusuki Abdul Rani dalam akaun facebook miliknya yang mendakwa MAIS berbohong dan menjadi pemecah umat Islam serta ejen kepada gerakan liberal.

Mais menegaskan bahawa kenyataan penceramah tersebut mempunyai unsur fitnah dan dibuat tanpa memahami maksud serta hikmah larangan penglibatan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam yang dikuatkuasakan di Negeri Selangor.

Mais menasihatkan masyarakat Islam untuk cakna dan memahami maksud dan tujuan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada aktivis politik. Mais menjelaskan bahawa “aktivis politik” yang dimaksudkan dalam larangan ini tidak terhad kepada orang yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik. Larangan ini juga merangkumi mereka yang menjalankan apa-apa aktiviti yang secara jelas mengajak dan mempengaruhi masyarakat untuk menyokong atau memihak kepada parti politik tertentu secara terbuka sehingga melahirkan sikap partisan dan fanatik terhadap sesuatu parti politik serta berpuak-puak di kalangan masyarakat Islam. Daripada siasatan yang dibuat dan pengesahan tapisan keselamatan pihak Polis Diraja Malaysia, Mais mendapati bahawa penceramah Dusuki Abdul Rani tergolong dalam aktivis politik yang dimaksudkan tersebut.

Larangan penglibatan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam ini dibuat bagi menghalang mana-mana pihak menyalahgunakan medan dakwah dan pengajaran agama Islam sebagai gelanggang politik. Larangan ini juga bertujuan untuk mengelak berlakunya penyebaran propaganda politik yang berunsur fitnah dan kebencian kerana ia menjadi punca perselisihan dan perpecahan dalam masyarakat Islam. Ini adalah suatu langkah preventif untuk mencegah sebarang mafsadah atau kerosakan daripada berlaku berdasarkan dalil sadd al-zara’i’.

Mais menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa larangan ini sebagai suatu sekatan terhadap dakwah dan pengajaran agama Islam di Negeri Selangor. Sebaliknya, Mais menegaskan bahawa larangan ini adalah merupakan langkah preventif untuk memastikan dakwah agama Islam yang disampaikan oleh aktivis politik yang bersikap partisan digantikan dengan pemegang tauliah lain yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam agama Islam yang tidak bersikap partisan. Pada masa ini terdapat seramai 5682 orang pemegang tauliah yang aktif di Negeri Selangor dan penarikan balik tauliah terhadap aktivis politik bermula tahun 2022 hanya melibatkan sejumlah 26 orang iaitu 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang tauliah. Justeru, larangan ini tidak sama sekali menjejaskan aktiviti dakwah dan pengajaran agama Islam di Negeri Selangor. Mais juga menegaskan bahawa Mais sentiasa komited untuk memastikan aktiviti dakwah dan pengajaran agama Islam terus subur sebagai medan penyebaran ilmu serta bebas daripada propaganda politik.

Mais menasihatkan semua pihak agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menghina, mengingkari atau mempertikai titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atau arahan Mais kerana ia merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

 


Pengarang :