Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SUBANG JAYA, 24 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan notis pengosongan 14 hari mulai hari ini terhadap pemilik yang mengabaikan tanah sehingga penceroboh menjalankan kegiatan pelupusan sampah haram di kawasan Taman Perindustrian Puchong Perdana di sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya Azfarizal Abdul Rashid berkata sekiranya gagal mematuhi notis berkenaan, pemilik tanah bakal berdepan tindakan denda sehingga RM25,000.
Beliau menambah, notis sita juga dikeluarkan kepada penceroboh dengan tindakan segera antaranya menyita jentera dan tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) selepas tempoh dua bulan sejak 11 Ogos lalu untuk keluar dari tapak itu tamat.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/MBSJ1-500x375.jpeg.webp)
“Hasil pemantauan mendapati aktiviti ini masih dijalankan dan MBSJ mengambil tindakan perundangan dengan mengeluarkan Notis tawaran Kompoun (NTK) bertarikh 19 September 2023 kepada pihak pemaju (pemilik tanah) di bawah Seksyen 70A (9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM25,000.
“MBSJ turut mengambil tindakan proaktif dengan menutup kesemua laluan masuk ke tapak pembuangan sampah dengan meletakkan blok batu besar bagi menghalang akses lori dan kenderaan berat selain menyita barangan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti pelupusan sampah haram berkenaan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/MBSJ3-500x375.jpeg.webp)
Bercakap ketika ditemui pada operasi penguatkuasaan di lokasi berkenaan, Azfarizal menegaskan MBSJ memandang serius dan tidak bertolak ansur terhadap individu yang melakukan kesalahan kacau ganggu terutama aktiviti pembuangan sampah haram sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar.
“Pemilik tanah diingatkan untuk bertanggungjawab menjaga kawasan milik tanah masing-masing berikutan amaran tidak akan terlepas daripada tindakan mahkamah walaupun aktiviti pembuangan sampah bukan daripada pihak mereka,” katanya.