Logo Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)
PBTSELANGOR

Gagal patuh syarat pelupusan sampah haram, MPKj keluarkan 170 tindakan sitaan

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

HULU LANGAT, 25 OKT: Sebanyak 170 tindakan sitaan dijalankan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kepada pihak yang gagal mematuhi syarat pelupusan sampah haram yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sejak Januari lalu.

Pemangku Yang Dipertua MPKj Mohd Fareez Mohd Ariss@Mohd Hatta berkata tindakan dilakukan mengikut Undang-undang Kecil, Pemungutan, Pembuangan, dan Pelupusan Sampah Sarap Majlis Perbandaran Kajang 2007.

“Melalui Perancangan Pelan Tindakan Pelaksanaan Tapak Pelupusan Sampah Haram 2023 (Perkhidmatan Kontraktor Panel), MPKj menetapkan syarat kepada pihak berkaitan dengan kerja membabitkan binaan dan pengusaha kilang diwajibkan mendapatkan perkhidmatan kontraktor panel berdaftar dengan MPKj.

“Langkah ini dapat mengawal sisa binaan dilupuskan di tapak sampah haram dan memastikan sisa binaan ini dihantar ke tapak pelupusan yang dibenarkan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan di Menara MPKj hari ini.

Tambah beliau, bermula tahun hadapan MPKj akan menguatkuasakan tindakan penyitaan tong roro kepada individu atau pemaju yang melaksanakan kerja binaan tanpa mematuhi syarat baharu yang telah ditetapkan.

“MPKj terus komited dalam membanteras kegiatan pembuangan sampah secara haram bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan PBT itu,” katanya.


Pengarang :