AGENDANASIONAL

Ganti aset loji, bekalan air pulih lebih 52 peratus, seluruh Hulu Langat selesai

SHAH ALAM, 12 OKT: Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas susulan penggantian aset di loji rawatan air (LRA) Sungai Langat mencapai 52.2 peratus dengan wilayah Hulu Langat pulih sepenuhnya setakat 12 tengah hari.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air bagi kawasan yang masih terjejas meliputi wilayah Petaling dan Kuala Lumpur dijangka akan pulih sepenuhnya pada 6 pagi esok.

“Air Selangor akan terus menggerakkan 81 lori tangki air secara aktif untuk 162 kawasan yang masih terjejas ini dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Di sebalik segala usaha kami untuk meminimakan impak disebabkan isu teknikal di lapangan yang tidak dapat dielakkan, tempoh pemulihan terpaksa dilanjutkan bagi memastikan bekalan air terawat yang bersih dan selamat dapat disalurkan kepada pengguna,” kata syarikat itu di Facebook.

Air Selangor turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pengguna disebabkan oleh kelewatan pemulihan penuh ini.

“Fokus kami kini adalah untuk memastikan proses pemulihan bekalan air berjalan dengan lancar,” katanya.

Kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat siap dilaksanakan pada malam 10 Oktober 2023. Foto Facebook Air Selangor

Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor atau saluran komunikasi rasmi waterupdates.airselangor.com

Selasa lalu, Air Selangor melaksanakan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di LRA Sungai Langat dan mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

Kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset Sungai Langat itu turut membabitkan penukaran injap pintu air berusia 50 tahun.


Pengarang :