BUDAYARENCANA

Genre seram?

Oleh Regina Ibrahim

Mak Bedah kerap berpesan, “Jangan sikat rambut hadapan cermin tengah malam, bahaya!!! Ada benda nak menumpang.”

Zarina tidak sabar mencuba kebaya sulam yang baru dihantar Kak Siah tukang jahit kampung. Lampu mentol bulat 45 watt berkerdip dua tiga kali di kamar yang diselak rapat, tidaklah menjadi hairan aliran elektrik sebegini di kampung. Baju kebaya putih berbunga ungu melekap elok.

Hati berbunga membayangkan jika nanti dihiasi tiga kerongsang tembaga bertatah intan tinggalan arwah nenek, di hadapan meja solek langka dicapainya sisir. Kebaya terletak sedap, tidak puas mata memandang, berterusan disisir rambut dari atas ke bawah paras bahu. Malu jadinya memikirkan bahawa dalam diam dia memuji paras sendiri yang jauh jelita berbanding gadis gadis di Desa Murni, jika tidak masakan esok Razman jejaka paling tampan masuk meminang? Leka jadinya mengadap cermin menyisir rambut hitam kilat beralun tersenyum berkali melatih orak senyuman biar manis esok…, sehinggalah imejan berubah, cantiknya bukan dia, cantik, cantik dan terlalu cantik sehinggalah imejan bermata bolong, berdarah dengan rambut kusut masai muncul beberapa saat.

Melolonglah Zarina sehingga terbangun seluruh isi rumah. Dia rebah, terkulai pengsan. Pintu kamar terpaksa ditendang pecah.

***

Fiksi seram memang mudah memikat. Apatah lagi berselit kata ‘Berdasarkan Kisah Benar’ sebagai pancingan di kulit buku dan poster filem, sifat kepochi pembaca/penonton jadi tercuit. Makanya berlumba-lumba rumah penerbitan tempatan melayangkan tawaran pencarian manuskrip baharu tidak kira syarikat kecil atau besar, terlupa banyak hal yang perlu diambil kira.

Sama seperti kitaran dunia fesyen, ke mana lagilah agaknya kisah seram mahu pergi? Fungsinya tetaplah untuk memicu adrenalin dan merinding bulu roma.

Lima sekawan berpetualangan? Bomoh putih bomoh hitam? Kampung atau lokasi keras misteri? Terbawa ke alam bunian? Rumah agam berhantu dengan sejarah hitam? Cuplikan kamera video pemburu paranormal? Atau sekumpulan remaja bermain dam duit syiling memanggil roh?

Selagi karya digarap segar membawa elemen elemen semasa manusiawi pasti ia akan memikat.
Peminat genre seram dan mistik, terbahagi kepada beberapa kategori penceritaan:
1. Seram tradisional – baik melawan jahat, hantu jelas, dendam dan insiden.
2. Seram + Thriller – Gangguan moden, siasatan dan keinsafan
3. Seram remaja – cinta, kembara, kesurupan dan ditutup bermesej.
4. Sejarah – Sama ada rekaan atau benar akan lokasi pilihan
5. Mudah terhibur – Asal ada jump scare dan babak babak ngeri

Plot penceritaan filem dan penulisan cereka seram Asia arahannya sering mahu mencampur aduk latar sejarah (benar atau fiksi), mutakhir melibatkan soal kesihatan mental (gangguan bi-polar, celaru personaliti, termasuk insomnia dan skizofrenia). Maka terbentanglah kisah manipulasi sesama, amalan kuno, perebutan harta atau kedudukan. Botol ubat, pil atau kaplet, mimpi saat terbaring seolah nyata dan jump scare tidak keruan untuk membeli waktu atau mempermudahkan kiat plot?

Rumah kosong terpencil dipastikan ada saki baki tinggalan (akibat tidak peka ia kelihatan baharu tidak logik – buku, patung atau objek-objek lain). Pereka set perlu belajar melangkakan tampilan objek pilihan (air teh untuk kesan baju lama, kitab langka, sapuan kertas pasir, sarang labah labah dan taburan debu) demi kesan vintaj terbiar. Penulis pula perlu mencari jalan untuk gambaran objek setepat mungkin.

Penghujung tahun 2020, penghasilan (cetak + lakon layar) bergerak mirip penceritaan barat, akibat kebanyakan menonton filem pelbagai. Skenario satu keluarga berpindah ke rumah agam atas dasar (harta warisan, faktor ekonomi dan pelbagai alasan rekaan) membawa perasaan seragam. Begitu juga kisah sekumpulan remaja ghairah meneroka kawasan baharu atau terperangkap – adaptasi skenario bagai cuplikan ulangan. Dibegalah serba sedikit dengan selitan-selitan jenaka, drama, cemas, cinta dan unsur ketertarikan seksual membawa sejarah pelecehan seksual agar tampil baharu, bermukadimah sama dengan naratif sumpahan di awal cerita. Insiden kesurupan menjadi wajib demi menghiasi tulisan, bagaikan pilihan yang tetap.

Sebenarnya peminat seram tegar ternanti-nanti kesegaran cerita, telagah antara bomoh putih/hitam sudah dianggap kuno, termasuk mantra-mantra dalam dialek eksotis, sosok hantu kumuh serta efek filem 80-an yang mengundang ketawa bila ditonton. Antagonis yang dimatikan sadis untuk kepuasan penonton dilihat sebagai klise.

Genre seram bercetak dan layar lebar terus dinanti, ada yang berjaya dan ada terpinggir begitu sahaja sehingga muncul yang meninggalkan kesan. Seram tradisional akan terus berlangsung kerana terdapat penggemar yang tidak kisah inti cerita dan menanti jump scare, solek hantu, pencahayaan, skor muzik mendebarkan serta pameran pujaan. Bagaimanapun, terdapat sekumpulan peminat/pembaca yang mula bertumpu pada karya yang menyelit hal budaya mistik, ritual dan kiat plot luar biasa disandingkan dengan permasalahan terkini.

Karya-karya hebat telah disaksikan melalui filem The Exorcist (1977), Sixth Sense (1999), Omen (1976), Phantasm (1979), The Others (2001), The Eyes (2002) dan barisan karya luar biasa keasliannya dari negara gajah putih. Indonesia sudah lari daripada teknik penceritaan seram komersil 80-an (lelucon, pertarungan, adegan seks), filem Perempuan Tanah Jahanam (2019), Rumah Dara (2009) dan beberapa produksi sebaik masuk tahun 2000 membawa elemen elemen segar.

Kecenderungan berDAKWAH melalu karya seram tidak hanya terjadi di Malaysia, ia ada hampir dalam semua filem horror.

Tontonan tahun 2023 filem berbajet rendah dari Australia bertajuk Talk to Me menjadikan penonton filem terlopong akan karya yang digarap dengan cemerlang. Pengkisahan keharuan, kebosanan remaja daerah terpencil memutuskan berjabat dengan tangan mistik yang akhirnya mencetus gangguan komuniti. Ia segar meski berpusar pada tema terbiasa mengangkat cerita hubungan keluarga, pertemanan dan keselamatan.
Siri-siri awal distopia seperti Black Mirror dan barisan musim siri American Horror Stories boleh dianggap mencecah genre seram dengan elemen moden berpandangan jauh ke hadapan. Pengkarya tempatan mungkin akan mampu berinspirasi lebih setelah menikmatinya.

Nota: Pengkarya tempatan pasti mampu pergi jauh, apa tidaknya? Sudah ditonton barisan filem seram dari Jalan Ampas, kenal siapa Maria Menado sebelum Suzzana. Membaca karya Tamar Jalis dan sudah melihat potensi besar melalui filem Cermin (2007) arahan Zarina Abdullah, Jangan Pandang Belakang 2007 oleh Piere Andre, Sini Ada Hantu (2011) oleh James Lee, Jengka 2015 dan barisan Munafik 1 & 2 oleh Syamsul Yusof. Jujukan novel novel seram tempatan sebenarnya ternanti-nanti untuk berpindah ke layar lebar penuh teliti dengan kerjasama penulis lakon layar yang baik.

Penulis kekal tidak meminati seram parodi terhangkak-hangkak!

Nota editor: Beberapa perkataan tidak dipinda, tanda jelmaan alam kepengarangan penulis berkenaan (baca: skenario, bega, hangkak dan sebagainya.)

 

 


Pengarang :