Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Muhd Fazreen Ismadi. Foto Facebook Muhd Fazreen Ismadi
AGENDANASIONAL

Guna bahasa Melayu dalam surat pelihara kedaulatan bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Penggunaan bahasa Melayu bagi urusan surat-menyurat di jabatan kerajaan penting bagi memastikan kejelasan dan integriti komunikasi kerajaan serta mempromosikan kepentingan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menzahirkan sokongan terhadap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Muhd Fazreen Ismadi berkata langkah itu penting bagi memelihara kedaulatan dan kedudukan bahasa kebangsaan itu.

“…ini juga akan membantu mewujudkan kesan positif dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan sosial serta memastikan keadilan dalam akses kepada perkhidmatan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar ketika merasmikan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan di Cyberjaya, mengingatkan jabatan kerajaan untuk tidak melayan atau memulangkan sahaja mana-mana surat yang tidak menggunakan bahasa Melayu.

Menurut Perdana Menteri, beliau menyedari terdapat beberapa pihak yang cuba meninggalkan asas Perlembagaan Persekutuan untuk berhubung dengan jabatan kerajaan dalam bahasa kebangsaan.

Sehubungan itu, Muhd Fazreen berharap usaha berkenaan akan terus diperkukuh dan diteruskan demi masa depan Malaysia yang lebih bersatu dan maju.

“Kendatipun Malaysia yang merdeka hampir tujuh dekad namun rakyat masih terpinga-pinga dengan ketaatan terhadap bahasa Melayu dalam urusan harian hinggalah kepada surat rasmi kerajaan.

“Sepatutnya kita perlu lebih tegas dan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang sengaja mengamalkan sikap sambil lewa dan tidak patuh kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :