Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah pada Jualan Ehsan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri Meru di Jalan Sungai Kapar Indah 3, Klang pada 11 Oktober 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Hampir 2,000 penduduk DUN Meru terima manfaat jualan murah sejak Ogos

KLANG, 11 OKT: Hampir 2,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru menerima manfaat Jualan Ehsan Rahmah (JER) di empat lokasi sejak Ogos lalu.

Wakil rakyatnya Mariam Abdul Rashid berkata antara barangan yang menjadi tumpuan adalah ayam, telur dan beras keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Ahli Dewan Negeri Meru Mariam Abdul Rashid ditemui ketika meninjau perjalanan Jualan Ehsan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri Meru di Jalan Sungai Kapar Indah 3, Klang pada 11 Oktober 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Sejak Ogos lalu, empat lokasi dipilih dan Alhamdulillah, jualan mendapat sambutan menggalakkan dan hampir 2,000 penduduk menerima manfaat.

“Biarpun jualan disasar untuk rakyat Meru namun dihadiri penduduk kawasan lain, tidak mengapa yang penting rakyat Selangor dapat manfaat,” katanya.

Ditemui pada JER di Jalan Sungai Kapar Indah 3 di sini hari ini, Mariam berkata jualan berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan apabila penduduk sudahpun menunggu sejak 7.30 pagi.

“Kita maklumkan penduduk bahawa nombir giliran hanya diberikan bermula 9.30 pagi, namun terima maklumat ada segelintir sanggup datang dua jam awal.

“Untuk jualan seterusnya, kita akan cuba perbaiki sistem yang lebih baik supaya lebih teratur dan memudahkan rakyat,” katanya.

Suri rumah Mijun Baharom, 55

Sementara itu, suri rumah Mijun Baharom, 55, yang sudah lebih 10 kali mengunjungi JER mengakui dapat berjimat dan barangan ditawarkan juga berkualiti tinggi.

“Saya bersyukur ada jualan ini yang banyak membantu meringankan beban. Harga barangan di bawa amat murah dan produknya juga berkualiti.

“Jika ada yang berhampiran rumah, saya pasti akan pergi bersama jiran-jiran membeli barang dapur,” katanya.

Pekerja swasta T. Naren, 52

Dalam pada itu, pekerja swasta T. Naren, 52, berkata JER wajar diteruskan dan diperbanyakkan di beberapa lokasi setiap minggu.

“Jualan amat bagus kerana membantu mengurangkan belanja dapur yang kini semakin meningkat. Tidak mengapa jika perlu beratur seketika asalkan dapat jimat belanja,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Kerajaan Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat sehingga kini.


Pengarang :