AGENDANASIONAL

Hampir 3,000 pekebun kecil Selangor disasar sertai kempen tingkat hasil getah

SHAH ALAM, 12 OKT: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyasarkan 2,856 pekebun kecil akan terlibat dalam penerokaan 8,492 hektar ladang getah tidak bertoreh di Selangor menerusi kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) di negeri itu.

Pengarah Bahagian Produktiviti dan Pemasaran Risda Noor Azan Mohd Noor berkata pelaksanaan kempen GPPG penting dalam memastikan sasaran pendapatan keluarga kolektif RM4,500 sebulan bagi pekebun kecil menjelang akhir 2025 dapat dicapai demi kesejahteraan komuniti pekebun kecil.

“Bagi kempen GPPG ini, Risda menyasarkan kira-kira 533,000 hektar ladang getah yang tidak bertoreh bagi memanfaat seramai 221,859 pekebun kecil di seluruh negara.

“Untuk Selangor sahaja, mengikut bancian Risda pada 2013 kira-kira 40.15 peratus daripada jumlah keseluruhan 7,113 pekebun kecil iaitu 2,856 orang memiliki ladang getah yang tidak ditoreh. Ini meliputi 3,410 hektar daripada jumlah keseluruhan 8,492 hektar di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program GPPG dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (Good Agricultural Practices – GAP) Peringkat Risda Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Risda Selangor Norliza Abdul Shukor, Timbalan Pengarah Risda Selangor Mohd Zulhelmi Ismail serta hampir 500 pekebun kecil dari seluruh daerah di negeri itu.

Noor Azan berkata kempen GPPG yang kini diaktifkan di seluruh negara adalah untuk merangsang pengeluaran hasil getah pekebun kecil dengan penumpuan khusus kepada penawaran pelbagai pakej bantuan.

“Melalui gerakan kempen GPPG, Risda memperkenalkan pakej bantuan Program Skim Getah Matang (SGM) meliputi bantuan bermula RM7,700 di Semenanjung Malaysia serta RM8,400 di Sarawak dan Sabah.

“Ini merangkumi komponen bantuan peringkat satu hingga lima dengan penambahan bantuan SGM Tanam Semula Getah,” katanya.

Jelasnya Risda juga mengalu-alukan semua pemilik tanah yang tidak tahu cara mengusahakan tanah mereka untuk mengunjungi pejabat Risda berdekatan bagi mendapatkan maklumat dan nasihat yang tepat mengenai pelbagai bantuan ditawarkan melalui Program Tanam Semula Getah.

– BERNAMA


Pengarang :