Pengundi melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing sempena pilihan raya negeri di Sekolah Kebangsaan 2 Sultan Alam Shah pada 12 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hanya petisyen DUN Gombak Setia dikemuka batal keputusan PRN

SHAH ALAM, 27 OKT: Hanya satu petisyen pilihan raya dikemukakan bagi membatalkan keputusan kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ogos lepas.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata petisyen itu dikemukakan Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia yang menyaksikan parti itu tewas dengan hanya 58 undi.

Bagaimanapun, katanya tiga lagi kerusi yang direncanakan untuk dikemukakan petisyen sama sebelum ini iaitu Dengkil, Sungai Kandis dan Taman Medan tidak diteruskan.

“Saya difahamkan pihak guaman PKR merasakan kes-kes itu (tiga kerusi tersebut) tidak mahu diteruskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, HARAPAN dan BN mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang majoriti kemenangan adalah rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan HARAPAN-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Sementara itu, peguam pempetisyen Amin Othman ketika dihubungi Bernama memaklumkan petisyen pilihan raya DUN Gombak Setia difailkan pada 18 Sept lepas di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Beliau berkata petisyen itu difailkan seorang pengundi Mohd Shaffie Omar bagi mencabar keputusan di kerusi tersebut atas dakwaan terdapat perbuatan menyogok pemilih atau pengundi dilakukan responden, Muhamad Hilman Idham semasa PRN Selangor.

Menurutnya bicara petisyen berkenaan akan berlangsung pada 11 hingga 22 Dis ini di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Pada PRN Selangor 12 Ogos lepas, Muhamad Hilman yang memperoleh 30,299 undi menang dengan majoriti 58 undi menewaskan calon BN Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mendapat 30,241 undi dan calon Bebas Mohamed Salim Mohamed Ali (1,076 undi).

– BERNAMA


Pengarang :