Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ditemui pada program serahan Jalur Gemilang dan ziarah merdeka Mais di lobi Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hanya segelintir daripada 5,682 pemegang tauliah terlibat politik

SHAH ALAM, 9 OKT: Hanya 26 orang atau 0.5 peratus daripada keseluruhan 5,682 pemegang tauliah yang terlibat politik di Selangor ditarik semula kebenaran mengajar agama mulai tahun lalu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan penarikan itu tidak sama sekali menjejaskan aktiviti dakwah dan pengajaran Islam seperti didakwa.

Beliau menjelaskan pihaknya juga sentiasa komited untuk memastikan aktiviti dakwah dan pengajaran agama Islam terus subur sebagai medan penyebaran ilmu serta bebas daripada propaganda politik.

“Mais menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa larangan ini sekatan terhadap dakwah dan pengajaran Islam di Selangor. Sebaliknya, Mais menegaskan larangan ini adalah langkah pencegahan.

“(Ia) untuk memastikan dakwah Islam oleh aktivis politik bersikap partisan digantikan dengan pemegang tauliah berpengetahuan dan pakar agama yang tidak bersikap partisan,” katanya hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Abdul Aziz berkata larangan aktivitis politik sebagai pemegang tauliah bagi menghalang medan dakwah disalah guna dan pengajaran agama sebagai gelanggang politik.

Beliau menegaskan ia juga untuk mengelak penyebaran propaganda politik berunsur fitnah dan
kebencian yang menyebabkan perselisihan dan perpecahan dalam masyarakat Islam.

“Ini adalah suatu langkah preventif untuk mencegah sebarang mafsadah atau kerosakan daripada berlaku berdasarkan dalil sadd al-zara’i’,” katanya lagi.

Sebelum ini, Mais menjelaskan penarikan semula tauliah mengajar Islam bagi aktivis politik di negeri ini selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Pengarang :