Suasana ketika undi belah bahagian usul peraturan mesyuarat 12 (1) pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 25 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Henti guna ‘kafir’, ‘zionis’, ‘yahudi’ dalam Dewan Rakyat, kata yang dipertua

SHAH ALAM, 23 OKT: Ahli parlimen diminta berhenti melabel atau merujuk mana-mana wakil rakyat dengan perkataan ‘kafir’, ‘zionis’ dan ‘Yahudi’ sepanjang perbahasan di Dewan Rakyat.

Yang dipertuanya menegaskan perbuatan atau perkataan yang mendorong ke arah perkara sensitif perlu dielakkan termasuk mengguris hati, mengeruhkan suasana dan menggugat keharmonian.

Tan Sri Johari Abdul berkata ahli parlimen seharusnya menunjukkan tingkah laku terpuji dalam membawa isu rakyat dan meletakkan kepentingan negara sebagai matlamat utama.

Beliau juga menegaskan tidak akan bertolak ansur lagi dalam perkara tersebut dan akan mengambil tindakan jika isu dan perkataan yang sama dibangkitkan dalam Parlimen.

“Sepanjang minggu lalu dalam perbahasan, pelbagai hujah dan pendirian yang diutarakan ahli-ahli Yang Berhormat mendorong ke arah perkara sensitif yang mengguris hati.

“Kenyataan yang mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian bersifat label-melabel antara kita termasuk kenyataan ‘kafir’, ‘zionis’ dan ‘yahudi’.

“Saya menyeru semua ahli Yang Berhormat menghentikan isu dan penyataan itu. Apatah lagi dalam suasana tidak kondusif sekarang yang mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Johari turut mengingatkan wakil rakyat supaya tidak membawa atau mengungkit isu peribadi yang dibangkitkan atau dilaporkan di luar Dewan Rakyat.

“Selain itu, saya memberi peringatan isu peribadi yang dibangkitkan dan dilaporkan di luar dewan jangan dibawa dan diungkit di dalam dewan. Ia hendaklah diselesaikan di luar dewan,” katanya.

 

 


Pengarang :