EXCO Keusahawanan Najwan Halimi beramah mesra bersama peserta Kursus Strategi Super TikTok 2023 Hijrah Selangor di Hotel Crystal Crown Harbour View, Pelabuhan Klang pada 5 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Hijrah anjur bazar pra-Deepavali bulan depan, himpun 100 usahawan

PELABUHAN KLANG, 5 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) bakal menganjurkan bazar pra-Deepavali bulan depan, yang menghimpunkan 100 usahawan komuniti India, kata EXCO keusahawanan.

Menurut Najwan Halimi, bazar yang akan diadakan di Padang Chetty, Klang memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk menyediakan kelengkapan sempena sambutan Deepavali.

Beliau menjelaskan permit perniagaan peserta bazar akan ditanggung Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham), termasuk penyediaan alatan perniagaan seperti khemah.

“Kita sasar sekurang-kurangnya 50 atau maksimum 100 peniaga akan sertai bazar ini. Permohonan akan dibuka dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya selepas merasmikan majlis penutup kursus Strategi Super TikTok 2023 di sini hari ini.

Kursus bawah program Sitham itu dihadiri kira-kira 40 usahawan komuniti India dari sekitar Klang. Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Normaiza Yahya.

Sementara itu, Normaiza berkata Hijrah membuka permohonan Skim i-Bermusim sempena Deepavali dengan pinjaman modal sehingga RM20,000 dan boleh dimohon di cawangan terdekat atau laman web.

Skim pinjaman i-Bermusim mula diperkenal sejak awal tahun lalu sempena kedatangan Ramadan dan Syawal serta musim buah-buahan.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM130 juta bagi membolehkan Hijrah menambah baik skim serta membantu pembangunan usahawan.


Pengarang :