Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Amirudin Shari melawat ke reruai jualan ketika Majlis penutup Karnival Usahawan I-Seed sempena Deepavali 2022 di Dataran Chetty, Klang pada 9 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hijrah anjur Karnival Deepavali di tiga lokasi, himpun 150 usahawan india

SHAH ALAM, 25 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) meneruskan penganjuran Karnival Deepavali tahun ini di tiga lokasi selama seminggu mulai 5 November.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata karnival di Klang, Sri Muda dan Ampang bakal menghimpunkan 150 usahawan bawah program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Dato’ Mearia Hamzah berucap pada Majlis penghargaan Ketua Komuniti India Selangor di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri , Shah Alam pada 25 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Penganjuran kali ini agak berbeza kerana diadakan secara fizikal dan dalam talian menerusi platform digital TikTok. Ini adalah sebahagian usaha menginovasi perniagaan dengan pendekatan teknologi.

“Selain itu, selaras dengan agenda Kerajaan Negeri  menuju ke arah negeri pintar menjelang 2025. Dengan penambahan kepada platform digital, diharap dapat meningkatkan pendapatan usahawan,” kata Dato’ Mearia Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis taklimat dan penghargaan ketua komuniti India di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 40 ketua komuniti India bagi sesi 2021-2022 menerima sijil penghargaan atas khidmat bakti dan sokongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Dato’ Mearia Hamzah bersama 40 Ketua Komuniti India selepas Majlis penghargaan Ketua Komuniti India Selangor di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri , Shah Alam pada 25 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mearia memaklumkan pihaknya kini dalam proses merangka beberapa penambahbaikan bagi membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan.

“Kita dalam usaha untuk meningkatkan latihan supaya mereka dapat pengetahuan dalam merancang kewangan perniagaan dan berjaya melunaskan pinjaman pada tempoh ditetapkan.

“Apabila mereka membuat bayaran tepat pada masanya, kita boleh gunakan dana itu untuk membantu usahawan lain. Selain itu, kita dalam usaha memperkenalkan pembiayaan baharu bersesuaian dengan situasi semasa,” katanya.

Hijrah menawarkan bantuan pinjaman kepada usahawan seperti Skim i-Bisnes, Skim Zero to Hero, Skim Go Digital dan Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NADI).

Turut ditawarkan bantuan modal memulakan perniagaan Skim i-Lestari, Skim i-Agro, Skim i-Bermusim dan Skim i-Sosial.


Pengarang :