Endang Hyder mengadakan persembahan sempena sambutan anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 yang disiar dalam talian pada 20 Julai 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Hilang tajaan dek doa Palestin, Endang tetap semangat hasilkan video muzik

Oleh Intan Syuhada Akhir

Tidak sedikit golongan selebriti disekat atau diancam dek lantang menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin atau mengutuk kekejaman rejim Israel.

Bintang bola sepak Perancis Karim Benzema dituduh terlibat dengan pengganas kerana menyokong penduduk Gaza menerusi media sosial X.com pada 15 Oktober. Tuduhan itu dilempar Menteri Dalam Negeri negaranya sendiri Gérald Darmanin.

Penulis terkenal Adania Shibli turut menjadi mangsa. Pemberian anugerah berprestij LiBeraturpreis untuk novelnya Minor Detail yang dijadual pada 20 Oktober di Pesta Buku Frankfurt ditunda kerana karyanya itu menyokong Palestin.

Begitu juga aktivis alam sekitar terkemuka Greta Thunberg dari Sweden yang menyuarakan sokongan menerusi X.com pada 20 Oktober. Dilabel antisemitik, gadis berumur 20 tahun yang membawa mesej memperjuang alam sekitar diperlekeh golongan pro-Zionis.

Foto Twitter Endang Hyder

Tidak terkecuali penggiat seni tempatan termasuk Endang Hyder. Hanya kerana mendoakan warga Palestin, penyertaan pemain biola berusia 37 tahun ke festival muzik di Belanda pada Disember ini dan awal Januari 2024 dibatal.

Akibatnya, beliau hilang pembiayaan RM29,000 dalam festival itu meski sokongannya dalam video saduran lagu Maher Zain berjudul For The Rest of My Life dimuat naik ke YouTube pada dua tahun lepas.

Pemilik nama sebenar Ell Zain Hyder Zainuddin itu juga kehilangan dana RM28,000 untuk dua projek penghasilan lagu. Majlis pelancarannya dijadual berlangsung sewaktu festival sama.

Tidak gentar

Penganjur yang menghubungi Endang pada 13 Oktober meletak syarat supaya pemuzik itu memadam komen sokongan terhadap Palestin dalam video itu jika mahu beraksi di festival tersebut.

Alasannya, ibu tunggal tiga anak itu ada menandatangani kontrak yang menyatakan peserta tidak boleh terlibat dalam isu berkaitan politik dan mesti berkecuali. Namun, Endang enggan.

“Di dalam kontrak ada menyatakan bahawa kami tidak boleh terlibat sebarang isu berkaitan politik dan menjadi berkecuali. Cuma, ia tidak selari dengan prinsip moral saya yang memang memperjuangkan Palestin,” katanya pada 20 Oktober.

Endang terus menyuarakan pendiriannya. Justeru, lepasan bidang muzik klasik Universiti Queen di Belfast, Ireland Utara memuat naik dua video di YouTube pada 16 Oktober yang disertai ajakan menyokong kanak-kanak Palestin menerusi lagu Lost Candy dan Escape.

Perolehan hasil tontonan seminggu melalui saluran tersebut pula disumbang kepada Palestin melalui badan bukan kerajaan Cinta Gaza Malaysia.

Kehilangan tajaan tidak melunturkan semangatnya untuk terus menghasilkan video muzik. Kini, pemuzik tersebut kerap mengadakan siaran langsung di saluran TikTok untuk mencari penaja baharu.

Kisah Endang tular tahun lalu apabila beliau terpaksa menjual biola kesayangan yang kerap digunakannya dalam persembahan bagi menampung perbelanjaan perubatan bapa yang menghidap kencing manis kronik hingga hilang penglihatan.

Akaun disekat

Sementara itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 44, mendedahkan hantarannya berkaitan perkembangan konflik di Palestin disekat Instagram sejak 19 Oktober.

Mula berkongsi doa dan mengemas kini situasi di Gaza sejak 10 Oktober, penyanyi nombor satu negara itu mengakui gusar keselamatan 59 anak angkatnya di sekolah Afwa Al-Afiyah di Gaza.

“Hantaran saya tentang Palestin di Instagram Feed sudah mula disekat. Tak mengapa usaha diteruskan,” tulisnya dalam hantaran di media sosial berkenaan.

Kebimbangan itu berikutan sekolah yang dibangunkan artis itu menerusi Yayasan Nurjiwa dikhuatiri terjejas akibat serangan bom rejim Israel di kawasan berhampiran dalam serangan udara baru-baru ini.

Sejak konflik Israel dan Gaza meruncing, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu selalu berkongsi perkembangan di Palestin dan beliau merancang bantuan yang boleh disalur kepada anak angkatnya.


Pengarang :