Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) memasuki sekolah pada hari pertama pembukaan sekolah 2023/2024 pada 20 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ibu bapa syukur bantuan sekolah diterus, tampung belanja anak

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diumum akan diteruskan tahun depan memberi sinar buat ibu bapa yang sememangnya menantikan khabar gembira mengenai bantuan itu.

Bantuan sebanyak RM150 bagi setiap murid itu adalah memadai, meringankan beban dan dihargai oleh ibu bapa yang ditemui Bernama biarpun jumlahnya mungkin tidak menampung keseluruhan perbelanjaan.

“Sekurang-kurangnya bantuan itu ada, sekurang-kurangnya perbelanjaan keseluruhan dapat dijimatkan,” kata Mohd Syahrul Ismail, bapa tiga anak yang juga penjawat awam di Ipoh, Perak.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan semalam memaklumkan bantuan itu, yang diumum ketika pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lepas, memperuntuk dana sebanyak RM788,130,000 dengan setiap murid menerima RM150 secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun bermula Januari tahun depan.

Bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada sejumlah 5,254,200 murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf di seluruh negara.

Bagi pembantu am, Ahmad Fadhlan Mohamed Latifi, 32, ini adalah kali kedua beliau menerima bantuan itu dan akan digunakan untuk membeli kelengkapan sekolah anak sulungnya yang berumur lapan tahun.

“Saya ada dua cahaya mata namun hanya seorang yang bersekolah… Harapnya dengan barangan serba baharu ini akan memberi keseronokan dan semangat untuknya belajar bersungguh-sungguh,” kata beliau yang bekerja di Ipoh, Perak.

Di Pahang, pekerja swasta, Hafizah Aina Halimi, 33, pula bersyukur dengan langkah proaktif kerajaan yang dilihat serius dalam membantu ibu bapa membuat persediaan persekolahan anak-anak.

“Memang gembira kerana ia sedikit sebanyak menjimatkan perbelanjaan keluarga kerana sambutan hari raya juga hampir dengan sesi pembukaan sekolah tahun depan,” kata ibu dua anak itu.

Bagi suri rumah, Hernita Razali, 34, inisiatif kerajaan itu sangat meringankan beban keluarganya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak pada tahun depan.

“Bantuan ini memang membantu kami dalam membuat persiapan sekolah anak memandangkan punca pendapatan keluarga hanya daripada suami yang bekerja sebagai juruteknik. Saya pula baru bersalin sudah tentu banyak belanja yang perlu dikeluarkan,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Di Sabah, Adteen Adi, 43, bersyukur dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan bantuan itu kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan ibu bapa menguruskan kos persekolahan anak-anak.

“Ia sangat membantu selain dapat mengurangkan beban ibu bapa terutama yang mempunyai ramai anak bersekolah,” kata suri rumah yang memiliki lima anak yang masih bersekolah.

Wanita itu, yang berniaga secara kecil-kecilan, juga berpendapat jumlah bantuan perlu dinaikkan kerana harga barang sekolah dilihat semakin meningkat.

Suri rumah yang ingin dikenali sebagai Hayati, 32, turut menzahirkan rasa syukur dan lega kerana BAP dilihat boleh membantu ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah.

“Bila buat persediaan awal, ibu bapa dapat membeli kelengkapan dalam keadaan tenang dan tidak kelam-kabut. Ada masa untuk mencari barang keperluan sekolah yang bagus dan berkualiti pada harga murah,” katanya yang mempunyai anak berumur lapan dan lima tahun.

-BERNAMA


Pengarang :