Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim (dua kiri) menyampaikan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek (dua kanan) pada majlis malam penghargaan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Mandarin Oriental pada 20 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Invest Selangor anjur malam penghargaan SIBS, hargai penaja, pempamer

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) menganjurkan malam penghargaan bagi menghargai penaja dan pempamer yang terlibat dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim, EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris hadir pada majlis berkenaan.

Ketika berucap Hasan Azhari berkata pihaknya menghargai peserta dan pempamer yang terlibat dalam sidang kemuncak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari bermula 19 Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) Dato’ Hasan Azhari Idris berucap pada majlis malam penghargaan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Mandarin Oriental pada 20 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Penyertaan peserta dalam program mega ini menunjukkan sidang kemuncak ini relevan selain menjadi platform kepada peniaga dan pelabur berurus niaga.

“Saya percaya komuniti perniagaan ini bukti bahawa Kerajaan Selangor komited dalam menyediakan peluang kepada peniaga untuk terus maju dan berkembang,” katanya.

SIBS 2023 yang memasuki edisi ketujuh membuka tirai pada 19 Oktober lalu di KLCC dengan sasaran potensi nilai jualan RM1.5 bilion dan ia berlangsung hingga esok.

Antara tetamu dalam program malam penghargaan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Mandarin Oriental pada 20 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Menyediakan hampir 1,050 reruai dengan jangkaan 50,000 pengunjung termasuk pelawat dari luar negara, SIBS yang dianjurkan sejak 2015 membuka potensi penerokaan bidang baharu termasuk inovasi dan teknologi selain menjamin masa depan generasi muda.

Antara negara yang menyertai SIBS kali ini ialah China, Itali dan United Kingdom.


Pengarang :