Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman bercakap kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-27 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 26 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Ir Cheremi angkat sumpah pemangku datuk bandar Shah Alam

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 27 OKT: Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman mengangkat sumpah jawatan sebagai pemangku datuk bandar Shah Alam berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Cheremi, 59, dibuat di hadapan ahli majlis sempena mesyuarat penuh bulanan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di wisma pihak berkuasa tempatan (PBT) itu di sini.

Beliau menggantikan penyandang terdahulu Dr Nor Fuad Abdul Hamid yang kini berkhidmat sebagai timbalan ketua setiausaha (pengurusan) di Kementerian Pengangkutan.

Cheremi sebelum ini dilantik sebagai timbalan datuk bandar Shah Alam pada 9 Januari 2023.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman mengangkat sumpah jawatan sebagai pemangku datuk bandar Shah Alam berkuat kuasa 27 Oktober 2023 di Wisma MBSA. Foto Facebook MBSA

Berucap selepas mengangkat sumpah jawatan, Cheremi yakin gabungan idea dan tenaga semua warga kerja MBSA mampu membawa perubahan dan memperkasakan lagi sistem penyampaian.

“Saya ingin menyeru kepada semua untuk sama-sama kita meneruskan visi yang telah diucapkan oleh mantan Datuk Bandar sebelum ini yang mana menjadikan Shah Alam sebagai Bandar Pintar, Berdaya Huni dan Makmur.

“Selain itu, saya juga yakin dan percaya, sekiranya kita dapat menggabungkan idea serta pemikiran secara kolektif, ia akan memberi satu lonjakan perubahan ke arah lebih baik dalam memperkasakan lagi sistem penyampaian MBSA ke tahap tinggi,” katanya.

Berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Selangor, beliau pernah berkhidmat di beberapa PBT antaranya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) antara Ogos 2020 hingga Disember 2022.

 


Pengarang :