Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Isu 3R: 104 kertas siasatan dibuka, pesalah berdepan tindakan tegas

SHAH ALAM, 23 OKT: Sebanyak 104 kertas siasatan berhubung isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dibuka Polis Diraja Malaysia setakat ini susulan aduan pelbagai pihak termasuk parti politik.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata individu mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejas sensitiviti dan menganggu ketenteraman awam bakal berdepan tindakan tegas.

“Mahu bercakap tentang bangsa kita, kasih sayang kepada bangsa, bangsa mesti rajin, terus maju, tingkat martabat dan kemuliaan, tiada salah apa-apa. Teruslah bercakap tiada isu apa.

“Yang tidak boleh, kalimah macam ini ‘mengundi Pakatan Harapan adalah bahaya kerana Pakatan Harapan menaja kumpulan Yahudi.’ Itu tak bolehlah,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin mengetahui pendirian kerajaan berhubung isu 3R di Dewan Rakyat hari ini.

“Pada 17 November 2022 aduan telah dibuat ke atas (ahli Parlimen) Pagoh dalam ceramah mega PNBest pada 16 November 2022 di Parit Jawa (atas ucapan itu). Ini disebut. Jadi polis terpaksa buka siasatan sebab ada aduan.

“Nak cakap tentang bangsa Melayu, Islam agama yang suci murni, silakan. Tapi bila sampai kepada ‘bahaya Pakatan Harapan kerana menaja Yahudi dan menyebabkan kristianisasi di Malaysia’ polis siasatlah.”

Dalam pada itu Saifuddin berkata cadangan arahan pentadbiran baharu Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu penggunaan kalimah Allah dijadual dibentang kepada mesyuarat Majlis Raja-Raja minggu ini.

“Kita telah mengadakan sesi libat urus sebanyak lima kali dan hasilnya telah dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusi Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj).

“Satu cadangan ke arah membina arahan pentadbiran baharu (hasil libat urus) dijadualkan dibentangkan kepada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang antara 25 hingga 27 (Oktober) ini.

“KDN akan mengambil panduan daripada situ untuk mengadakan garis panduan yang baharu bagi isu penggunaan kalimah Allah,” katanya.

Pada 7 September lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terikat bawah kuasa ahli politik terutama melibatkan isu 3R.

Beliau berkata PDRM tidak hanya mengambil tindakan terhadap ahli politik, malah siasatan turut dilakukan terhadap orang awam jika mereka menyentuh berkenaan isu 3R.

“Isu 3R ini merupakan satu isu yang sensitif dan ia tidak mengira parti politik mana yang memerintah,” katanya yang menjelaskan PDRM turut mengambil tindakan tegas berkaitan isu 3R ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.


Pengarang :