Atlet lontar peluru negara Mohd Ziyad Zulkifli bergambar bersama pingat gangsa yang dimenangi dalam acara lontar peluru pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh, Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo pada 9 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Jaguh lontar peluru negara pertahan emas di Sukan Asia Para 2022

HANGZHOU, 24 OKT: Jaguh lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli terus membuktikan kehebatannya selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah intelektual) pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022, di sini hari ini.

Pada aksi berlangsung di Stadium Pusat Sukan Huanglong, atlet berusia 33 tahun itu ternyata unggul, selepas melakukan balingan sejauh 16.65 meter (m) pada percubaan ketiganya, tanpa mampu dicabar tiga wakil lain.

Atlet kelahiran Selangor itu muncul juara menewaskan rakan senegara Mohamad Aliff Mohamad Awi, yang merangkul perak dengan catatan 13.75m, manakala atlet Thailand Sanepoot Boonkong memenangi gangsa (13.67m).

Beliau sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Para Asia dimenangi pada dua edisi sebelum ini iaitu 2014 Incheon, Korea Selatan dan 2018 Jakarta-Palembang, Indonesia.

“Saya cukup berpuas hati dengan kejayaan hari ini dan kejayaan ini saya hadiahkan buat seluruh rakyat Malaysia.

“Rasa bangga dapat membuat hatrik pada tiga temasya berturut-turut,” katanya kepada Bernama.

Kejayaan pemenang pingat emas Paralimpik 2016 itu dalam masa sama, menyumbang pingat emas ketiga negara, selepas pelumba berbasikal trek para negara Nur Suraiya Muhammad Zamri-Farina Shawati Mohd Adnan (pengemudi), menghadiahkan emas kedua di Velodrom Pusat Sukan Chun’ An Jieshou, sebentar tadi.

– BERNAMA


Pengarang :